Peralatan elektronik selain telefon bimbit dan peralatan perubatan, perlu dimasukkan ke dalam bagasi. - Foto Hiasan
AP

Washington: Amerika Syarikat melarang peralatan elektronik selain telefon bimbit di bawa ke dalam kabin pesawat membabitkan penerbangan terus dari lapangan terbang di negara Asia Barat dan Afrika Utara mulai hari ini, berikutan dakwaan ancaman yang tidak dinyatakan.

Media hanya mengetahui larangan itu semalam, selepas Royal Jordanian Airlines dan agensi berita di Arab Saudi mengeluarkan kenyataan mengenai larangan itu.

Associated Press (AP) melaporkan Menurut pegawai Amerika, larangan itu membabitkan penerbangan terus ke Amerika dari 10 lapangan terbang di Asia Barat dan Afrika Utara, namun tidak menyatakan nama negara serta lapangan terbang terbabit.

Alasan larangan itu yang tidak membabitkan syarikat penerbangan Amerika, tidak dapat dipastikan. Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan Amerika enggan mengulas.

Menurut Royal Jordanian Airlines, telefon bimbit dan peralatan perubatan dikecualikan, manakala barangan elektronik lain, termasuk komputer riba, iPad, tablet, pemain DVD mudah alih dan kamera perlu dimasukkan ke dalam begasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 7:59 AM