KEADAAN mangsa yang ditemui cedera dan kesejukan.
Amrullah Abdul Karim
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Kuala Kubu Bharu: Tiga wanita yang cedera ketika mendaki Gunung Rajah di sini, sejak petang kelmarin, berjaya diselamatkan bomba, semalam.

Semua mangsa berusia 23 hingga 32 tahun itu cedera di kaki ketika tiba di Kem Renoma bersama 15 pendaki lain pada jam 6.41 petang.

Bertindak atas maklumat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sebelum mereka dibawa turun dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu.

Ketua Balai Bomba Kuala Kubu Bharu Kamil Hamadan berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan membuka pusat kawalan bomba (PKB) di kawasan Air Terjun Pertak bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa.

Beliau berkata, pendaki Mariahtulshida Mansor, 32, Dayang Nurhanisah Awang Ali, 24, dan Amal Nurhidayah Mohd Aniza, 23 tidak boleh berjalan kerana ecedera dan sepasukan bomba mula bergerak ke lokasi penemuan mereka sejak petang kelmarin.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa diberikan rawatan awal di Kem Renoma sebelum bergerak turun.

“Pasukan SAR bersama semua mangsa yang cedera selamat tiba di PKB Pertak pada jam 7.20 pagi tadi (semalam),” katanya.

Kata Kamil, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 8:27 AM