ular cuba menyorok di dalam lubang.
Majeran (kiri) menunjukkan ular tedung selar yang ditangkap.
myMetro

Kuala Pilah: Seorang lelaki yang sedang berehat terkejut dengan kehadiran ular tedung selar sepanjang empat meter di belakang rumahnya di Kampung Tanjung Jati, di sini, kelmarin.

Bohari Abu, 59, berkata, kejadian berlaku kira-kira 4 petang itu selepas dia selesai memberi ayamnya makan di reban terletak 10 meter dari rumahnya.

“Selesai memberi makan, saya merebahkan badan dan terlena seketika atas sebuah kerusi bersebelahan reban ayam. Bagaimanapun, saya terjaga sebaik terdengar bunyi bising dari reban ayam.

“Sebaik memeriksa, saya melihat ular tedung di tepi reban. Saya membaling batu ke arah ular tedung itu yang kemudian bersembunyi dalam lubang di tepi reban ayam.

“Dengan bantuan jiran, kami berusaha menangkap ular tedung menggunakan sebatang buluh dan menjerut bahagian kepala ular dengan tali.

“Kami mengambil masa kira-kira 15 minit menjinakkan ular itu sebelum diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Pilah,” katanya.

Kata Bohari, ini kejadian kedua selepas 10 tahun, namun bernasib baik tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Ketua Operasi APM Kuala Pilah Sarjan Majeran Lon berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.50 petang sebelum dua anggota dikejarkan ke lokasi.

“Buat masa ini, kami menempatkan reptilia berbisa itu di pejabat APM Kuala Pilah sebelum mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 8:57 AM