Empangan Pedas berada dalam keadaan baik dan selamat. Foto BADAN KAWAL SELIA AIR NS
BERNAMA

Seremban: Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) menafikan dakwaan kononnya Empangan Pedas pecah mengakibatkan banjir di Rembau dan kawasan sekitarnya semalam.

Pengarah Sains Wan Rasdi Wan Ismail berkata banjir itu tiada kena-mengena dengan empangan pecah, yang katanya sengaja direka bagi memburukkan keadaan.

"Banjir kerana hujan lebat menyebabkan limpahan air sungai. Empangan Pedas berada dalam keadaan baik dan jika penuh pun ia (empangan) akan mengeluarkan air melalui alur limpah ke sungai.

"Saya minta orang ramai tidak panik, tidak perlu tular benda yang tidak betul dan tidak perlulah mereka-reka cerita," katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas kejadian banjir di Rembau dan Kuala Pilah yang ditularkan dalam media sosial kononnya berlaku akibat Empangan Pedas pecah.

Wan Rasdi berkata, jika benar, sudah tentu ramai terkorban, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Hentikan sebar benda tidak sahih. Semua empangan masih dalam keadaan baik dan terkawal," katanya.

Semalam, Anggota Parlimen Rembau yang juga Menteri Belia Dan Sukan Khairy Jamaluddin menafikan banjir berkenaan berlaku akibat empangan pecah.

Beliau sebaliknya menegaskan ia berpunca daripada hujan lebat luar biasa sejak malam kelmarin menyebabkan limpahan Sungai Rembau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 9:30 AM