AFP

Indian Wells, Amerika Syarikat: Roger Federer (gambar) menjulang gelaran kelima kejohanan ATP Indian Wells Masters semalam, meneruskan kebangkitan kariernya dengan kemenangan 6-4, 7-5 ke atas Stan Wawrinka.

Federer yang diketepikan enam bulan berikutan pembedahan lutut tahun lalu kembali menjuarai gelaran Grand Slam ke-18 pada Terbuka Australia, Januari lalu.

Menerusi kemenangan membabitkan pertemuan dua pemain Switzerland itu, Federer menyertai Novak Djokovic sebagai satu-satunya pemain lelaki yang menjuarai lima gelaran Indian Wells selepas menjuarainya pada 2004, 2005, 2006 dan 2012.

Pada usia 35 tahun, Federer menjadi pemain ATP tertua menjuarai gelaran Masters elit, mengatasi Andre Agassi yang menjuarai kejohanan di Cincinnati pada 2004 ketika berusia 34 tahun.

“Ia bagaikan satu kisah dongeng,” kata Federer yang tidak beraksi di Indian Wells tahun lalu berikutan kecederaan.

“Saya tidak terkejut besar seperti ketika berada di Australia tapi ia masih satu kejutan untuk memenanginya di sini dan menewaskan pemain lain.

“Saya amat gembira. Ia permulaan tahun hebat buat saya. Saya tidak menang sebarang gelaran tahun lalu. Saya tidak berada dalam mana-mana perlawanan akhir kecuali di Brisbane tahun lalu. Perubahan itu sungguh dramatik dan saya rasa sungguh hebat.”

Peningkatan ketara itu bermakna Federer yang menduduki ranking ke-10 dunia perlu menilai kembali sasarannya tahun ini.

Sebelum Terbuka Australia sasarannya adalah untuk meningkatkan rankingnya ke tangga kelapan sebaik Wimbledon berakhir.

“Matlamatnya berubah sebaik impian itu bermula,” kata Federer.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 9:58 AM