Mohd Rafi Mamat
sukan@hmetro.com.my


Maran: Pasukan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Temerloh (gambar) muncul juara kategori bawah 18 tahun Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) selepas menewaskan MSSD Maran 2-1 di Kolej Matrikulasi Teknikal Pahang di Jengka, di sini, kelmarin.

Pada perlawanan akhir penuh debaran itu MSSD Temerloh yang pada mulanya tertekan dengan aksi bersemangat tuan rumah menang 16-21, 21-16, 21-14.

Pengerusi Teknik Sukan Sepak Takraw MSSD Temerloh Zulkifli Ismail berkata, pengalaman luas pemain menjadi kelebihan kepada MSSD Temerloh untuk muncul juara kali ini.

Katanya, pasukan itu menggunakan kelebihan pemain yang merangkul kejuaraan bawah 15 tahun pada tahun lalu.

“Program pembangunan sukan sepak takraw dilakukan secara berterusan dan tersusun oleh pegawai bersama barisan jurulatih menjadi faktor utama kejayaan MSSD Temerloh di peringkat MSSP.

“Lebih membanggakan pemain MSSD Temerloh setiap tahun terpilih mewakili MSSP ke saingan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM),” katanya.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Pegawai Pendidikan Maran, Jailani Ludin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 10:01 AM