PENGARANG Berita Harian Metro Sufian Thauri Muhammed bersama Palvinder ketika sumbangan untuk Kejohanan Bowling Harian Metro di Balai Berita, semalam.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: URC menerusi jenama Jack n Jill menjadi penaja terbaru menjalinkan kerjasama bersama Harian Metro menjelang Kejohanan Bowling Best! Harian Metro yang berlangsung di Sahara Bowl & Cafe, Angsana Johor Bahru Mall pada 23 hingga 25 Mac ini.

Ia jalinan kerjasama kedua Jack n Jill bersama akhbar ini selepas terbabit memeriahkan Karnival Futsal Harian Metro sebelum ini.

Menurut Rakan Kongsi Sumber Manusia Bahagian Penjualan dan Pemasaran URC Palvinder Singh, ia adalah sebahagian usaha Jack n Jill menghargai sokongan Harian Metro dan juga kepada pelanggan setia mereka.

“Kerjasama ini adalah sebahagian daripada strategi pemasaran kami untuk menambat hati pelanggan.

“Peserta yang mendaftar untuk menyertai kejohanan ini bertuah kerana mereka akan dapat menikmati perisa Potato Chips, Roller Coster dan Nips Almond yang baru dilancarkan dua bulan lalu,” katanya.

Kejohanan Bowling Harian Metro kembali selepas lebih 10 tahun tidak dianjurkan sekali gus memberi peluang kepada peminat sukan itu beraksi dan membawa pulang hadiah lumayan.

Senarai pasukan bertanding akan disiarkan di akhbar Harian Metro, esok.

Hanya 10 pasukan teratas akan bertanding pada pusingan akhir 25 Mac ini dengan juara membawa pulang RM1,000, pingat dan hamper, naib juara (RM700, pingat dan hamper) dan ketiga (RM600, pingat dan hamper).

Tempat keempat (RM500, pingat dan hamper) manakala kelima hingga ke-10 (RM200, pingat dan hamper).

Selain kejohanan bowling di Sahara Bowl, konsert mini menampilkan barisan artis tempatan Wani, Bandi Amuk, Siti Nordiana dan kumpulan Jumero turut diadakan pada hari terakhir kejohanan.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan keterangan lanjut bolehlah menghubungi Rudy di talian 019-8241975.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 10:05 AM