Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Atlet senior negara Lee Hup Wei optimis memperbaiki catatan lompatanya selepas meraih emas Kejohanan Olahraga Jemputan Bankstown di Sydney, Sabtu lalu.

Selepas disingkirkan pada dua temasya Sukan SEA Myanmar dan Singapura berikutan dihantui kecederaan, atlet berusia 30 tahun tekad kembali mengibar cabaran negara di Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos ini.

Hup Wei kembali mendapat kekuatan apabila meraih emas Kejohanan Olahraga Jemputan Bankstown di Sydney, Sabtu lalu dengan catatan terbaik peribadi 2.21 meter (m).

Catatan itu juga memperbaiki pencapaian 2.14m di Kejohanan Grand Prix Canberra minggu lalu ketika rakan sepelatih Nauraj Singh Randhawa meraih emas.

“Saya berpuas hati dengan apa yang dicapai setakat ini. Banyak yang saya pelajari sepanjang berada di Sydney di bawah jurulatih Alex Stewart terutama dalam memperbaiki teknik lompatan dan larian,” katanya yang akan menyertai kejohanan terakhir iaitu di Terbuka Australia hujung bulan ini.

Kemenangan di Bankstown itu menjadi pembakar semangat buat Hup Wei yang bergelut untuk ke kemuncak prestasi selepas meraih emas di Sukan SEA 2011 Palembang.

Ia kemenangan pertama Hup Wei di peringkat antarabangsa sejak Terbuka Filipina, April tahun lalu selain memenangi Terbuka Malaysia pada Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 10:10 AM