Tey Seu Bock.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas menjuarai kejuaraan Siri Super Premier Seluruh England keempatnya minggu lalu, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memutuskan untuk menarik diri dari Siri Super Terbuka India yang akan berlangsung di New Delhi, minggu depan.

Perkara itu disahkan jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock kerana ingin memastikan pemain utama perseorangan negara itu kembali cergas sepenuhnya menjelang Terbuka Malaysia bulan depan.

Seu Bock berkata, keputusan menarik diri itu dianggap langkah wajar bagi pemenang tiga perak Sukan Olimpik berkenaan mendapat rehat secukupnya.

“Lutut dia (Chong Wei) sudah tidak sakit namun kami tidak mahu mengambil risiko dan perlu berhati-hati agar kecederaannya tidak berulang.

“Fokus terhadap proses pemulihan itu perlu diberi tumpuan,” katanya yang menjelaskan Chong Wei mengalami kecederaan MCL (medial collateral ligament) akibat terjatuh di gelanggang licin semasa latihan.

Chong Wei sebelum ini sudah memberi bayangan untuk menarik diri daripada menyertai Terbuka India berikutan kecederaan lutut yang masih belum pulih.

Namun bukan hanya Chong Wei, jaguh dari negara Tembok Besar China seperti pemenang emas Sukan Olimpik Chen Long dan Lin Dan turut dilaporkan menarik diri daripada menyertai kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai AS$350,000 (RM1.5 juta) itu.

Namun pemain nombor satu dunia itu sedia beraksi di Terbuka Malaysia sekali gus memburu gelaran ke-12 di kejohanan yang akan berlangsung di Kuching Sarawak, bermula 4 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 10:15 AM