VILMIAIRE terpaksa diketepikan SAFA.
Ryan Stanley
sukan@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) mengesahkan Jelius Ating sebagai pengendali baru skuad Badak bagi menggantikan Steve Vilmiaire, berkuatkuasa kelmarin.

Presiden SAFA Datuk Seri Musa Aman, dalam kenyataannya turut mengumumkan Datuk Juil Nuatim sebagai pengurus pasukan itu, menggantikan Adlane Messelem.

Selain itu, jawatan ketua jurulatih Piala Belia Bawah 19-Tahun Sabah yang sebelum ini disandang Jelius akan digalas Awang Sabtu Jamil manakala pengurus pasukan Piala Presiden yang dijawat Juil sebelum ini, akan diganti dengan Azman Mastar.

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah turut mengucapkan tahniah kepada Jelius, Juil dan Awang atas perlantikan itu.

“Saya percaya pelantikan ini amat bertepatan sekali kerana mereka mempunyai pengalaman di samping mempunyai kelayakan jurulatih kelas A.

“Pemilihan tiga calon ini juga adalah manifestasi komitmen dan kesungguhan SAFA dalam meningkatkan prestasi Sabah dalam ketiga-tiga liga berkenaan,” katanya.

Keputusan itu dipercayai dibuat susulan prestasi buruk pasukan itu dalam saingan liga setakat ini, apabila menduduki tangga kedua tercorot selepas lapan perlawanan.

Sabah kini hanya mengutip empat mata hasil daripada satu kemenangan, satu seri dan enam kekalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 10:19 AM