Rodly Fadly
sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Legenda bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh menyarankan Pulau Pinang melantik jurulatih tempatan bagi menggantikan Ashley Westwood sebagai langkah segera untuk menyelamatkan pasukan itu.

Malah, beliau secara terbuka menyebut tiga nama - Mohd Azraai Khor Abdullah, Zainal Abidin Hassan dan Mohamad Bakar - sebagai calon yang boleh dipertimbangkan berdasarkan kewibawaan mereka.

Sambil menyambut baik langkah Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) memecat Westwood, Shukor berkata pasukan itu kini berada dalam keadaan terdesak serta memerlukan jurulatih yang benar-benar berwibawa untuk membimbing mereka.

“Saya menyokong langkah FAP memecat Westwood walaupun tindakan itu agak lambat. Saya harap mereka akan segera mencari penggantinya.

“Ini kerana saya tidak yakin pembantu Westwood (Darren Read) yang kini diberi tanggungjawab memangku tugas jurulatih mampu melaksanakan peranan itu dengan berkesan.

“Bagaimana pembantu yang dibawa oleh Westwood mampu mengubah keadaan sedangkan gandingan mereka sudah terbukti gagal,” ujar Shukor.

Malah, beliau menegaskan FAP sepatutnya memecat semua anggota pasukan kejurulatihan yang dibentuk Westwood sebaliknya memilih pasukan kejurulatihan baru dengan jurulatih tempatan diberi keutamaan.

“Dalam keadaan Pulau Pinang yang terdesak sekarang, saya cadangkan FAP lantik jurulatih tempatan untuk dapatkan hasil segera.

“Ini kerana mereka lebih memahami bola sepak Malaysia serta karektor pemain kita bagi memudahkan tugasnya membentuk pasukan mantap.

“Jika ambil jurulatih luar, mereka memerlukan masa yang agak lama untuk mengenali bola sepak kita sedangkan dengan kedudukan di tangga tercorot sekarang, Pulau Pinang perlu bangkit segera.

“Lagipun kita tidak ketandusan jurulatih tempatan yang bagus. Mungkin FAP boleh pertimbangkan nama-nama seperti Azraai, Zainal dan Mat Bakar (Mohamad Bakar).

“Ketiga-tiga mereka berpengalaman luas sebagai pemain dan jurulatih serta sudah membuktikan kemampuan. Pada masa sama, mereka kini tidak membimbing mana-mana pasukan.

“Walaupun harapan untuk layak ke Piala Malaysia tampak tipis, saya harap Pulau Pinang dapat kekal dalam Liga Super musim depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 10:22 AM