ZAKARIA menunjukkan siput gondang emas yang merosakkan tanaman padinya.
NIK Hamadi dan petani menunjukkan siput gondang emas yang dikutip dalam tempoh dua jam.
SIPUT gondang emas yang dikutip dijual dengan harga RM1 sekilogram.
DUA saiz siput gondang emas yang berwarna keemasan dan kehitaman.
SIPUT gondang emas turut bertelur pada batang pokok.
PETANI bergotong-royong mengutip siput gondang emas.
Azlan Hafeedz
rencana@hmetro.com.my

Hanya lapan ekor ‘pembunuh senyap’ ini sudah cukup untuk memusnahkan kawasan padi seluas satu meter persegi hanya dalam tempoh 24 jam sahaja dan bayangkan jika ia membabitkan ratusan atau ribuan ekor!

Dahulu, makhluk perosak ini menduduki carta kedua selepas perosak utama, tikus. Namun, sejak dikesan kehadirannya di Jelawat Rusa, Bachok, Kelantan pada 2010 sehingga memusnahkan tanaman padi seluas lapan hektar sekali gus, ia terus mengungguli carta sehingga kini.

Itulah kebimbangan penanam padi, khususnya di kawasan pertanian seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak apabila perlu menanggung kos kerugian agak tinggi akibat serangan haiwan itu.

Siput gondang emas (SGE) atau nama saintifiknya, pomacea kini antara ancaman utama penanam padi di Malaysia dan di Kelantan, terdapat dua jenis SGE iaitu pomacea canaliculata yang berwarna keemasan dan pomacea incerlarus (warna kehitaman).

Berasal dari kawasan paya dan sungai di Argentina dan Brazil di Amerika Selatan, SGE yang juga sejenis herbivor dikatakan dibawa masuk ke Malaysia untuk tujuan hiasan dalam akuarium.

Disebabkan kecuaian dan kelalaian manusia, ia dilepaskan ke longkang atau paya menyebabkan SGE cepat membiak, seterusnya merebak ke seluruh lokasi menerusi bawaan air seperti banjir hingga ke kawasan pertanian.

Kerosakan tanaman padi bermula apabila SGE menyerang pangkal anak benih padi berusia kurang 21 hari selepas kerja menabur. Namun, serangan lebih teruk jika paras air di sawah melebihi satu sentimeter yang boleh mengakibatkan petani kehilangan 93 peratus hasil padi.

Tanda serangan agak mudah dikesan apabila kelihatan tompok dalam sawah seperti anak benih tidak tumbuh, kehadiran telur di batas sawah dan rumpai, kehilangan rumpun padi serta daun padi terapung di permukaan air.

SGE juga memiliki keistimewaan tersendiri kerana ia boleh masuk ke dalam tanah sedalam tiga meter, mampu hidup selama tiga tahun tanpa air serta boleh bertelur sehingga 8,000 biji sepanjang hayat dengan setiap kantung telur mengandungi 200 hingga 300 biji telur.

Pengarah IADA Kemasin Semerak Nik Hamadi Nik Abdullah berkata, sejak SGE dikesan pada 2010, pihaknya terus melaksanakan program pembasmian menerusi gerak kerja gotong-royong bersama petani, setiap tahun.

Katanya, pihaknya sentiasa membantu 2,166 petani di bawah IADA Kemasin Semerak demi menyelamatkan periuk nasi mereka daripada musnah diserang haiwan perosak itu termasuk memperkenalkan kaedah kawalan siput.

“Kawalan SGE terbahagi kepada empat kaedah iaitu kawalan kultura dan fizikal yang membabitkan kerja mengutip serta memusnahkan telur dan siput apabila pancang kayu diletakkan di kawasan perhatian siput sebagai umpan tempat bertelur.

“Kaedah mekanikal dengan memasang jaring di gelung air keluar dan masuk bagi menghalang siput masuk ke sawah, kaedah biologi ternakan itik khaki campbell dan muscovy sebagai agen kawalan yang akan memakan telur serta siput.

“Manakala kaedah kimia menerusi penggunaan beberapa jenis racun disyorkan untuk kawalan SGE seperti niclosamide dan saponin,” katanya.

Selain memberi tunjuk ajar petani mengenai empat kaedah terbabit, IADA Kemasin Semerak turut mengadakan pelbagai aktiviti antaranya gotong-royong membasmi SGE dengan tawaran RM1 bagi satu kilogram (kg) setiap kutipan siput dan RM3 per kg (telur siput) oleh jabatan berkenaan.

Petani, Zakaria Awang, 65, dari Kampung Pulau Lima berkata, daripada lima hektar tanaman padi diusahakannya, separuh hektar musnah selepas dimakan SGE, sebulan lalu menyebabkan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM5,000.

Katanya, pelbagai kaedah dilakukan termasuk menabur garam kasar berdasarkan petua orang tua bagi mematikan haiwan perosak itu, namun kurang berhasil malah semakin teruk.

“Hasil tunjuk ajar pegawai IADA Kemasin Semerak mengenai cara betul menangani siput itu, pak cik terus mencubanya dan perubahan mulai ketara apabila pembiakan siput semakin kurang,” katanya.

Siti Limah Pik, 56, pula berkata, jika siput itu mahal harganya di pasaran, tentu petani berebut untuk menjualnya bagi menampung kos kerugian, namun ia langsung tidak bernilai sekali pun dikatakan berkhasiat untuk merawat kencing manis.

Katanya, dia bersama tiga anaknya, Mohd Azwan Razali, 20; Mohd Ridhuan, 24 dan Mohd Saiful, 30, kini semakin buntu selepas tanah sawah mereka seluas 30 hektar di Kampung Bunut Rendang, Gaal, diancam haiwan terbabit.

“Sebelum ini, tikus musuh utama kami sebelum siput gondang muncul dan rakus memakan hasil tanaman padi menyebabkan kami kerugian ribuan ringgit.

Pendapat Siti Limah turut disokong Nik Yazid Nik Mohamad, 52, dari Kampung Gong Kemudu Bongkok yang menyifatkan serangan siput itu agak sukar dibendung.

“Kira-kira 60 peratus daripada 15 hektar padi yang saya usahakan musnah dalam tempoh tidak sampai sebulan akibat dimakan siput berkenaan.

“Kini, saya garu kepala yang tidak gatal memikirkan cara hendak membayar semula pinjaman bank berjumlah RM12,000 yang dipinjam untuk tujuan penanaman padi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 11:15 AM