WISAL al-Ahdab (kiri) berbual dengan Ryad Hommos menggunakan bahasa isyarat.
RYAD berlatih menggunakan bahasa isyarat dalam kelas yang diadakan khas untuk individu cacat pendengaran.
DUA sahabat berbincang untuk memperluaskan penggunaan beberapa perkataan bahasa isyarat baru bagi penduduk Syria.
LEBIH 200,000 penduduk Syria direkodkan alami cacat pendengaran tetapi jumlah sebenar jauh lebih tinggi.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Menegakkan jari kelingking dua kali menandakan huruf ‘I’ dan meletakkan ibu jari di atas jari telunjuk dan hantu bermakna ‘S’ yang membawa erti kumpulan ISIS.

Di sebuah pejabat badan bukan kerajaan (NGO) di Damascus, dua belia yang cacat pendengaran, Bisher Ekreim dan Ryad Hommos, tekun berusaha menghasilkan huruf bahasa isyarat khas supaya beribu rakyat Syria seperti mereka boleh ‘bercakap’ mengenai peperangan yang memusnahkan negara itu sepanjang enam tahun ini.

Untuk itu, mereka berusaha mencipta satu isyarat untuk perkataan bahasa Inggeris yang turut digunakan dalam bahasa Arab iaitu ISIS atau Daesh.

Bagi perkataan ‘kerajaan’, dua jari diletakkan di atas tapak tangan, melambangkan dua bintang yang ada pada bendera Syria.

Namun jika meletakkan tiga jari pada tapak tangan, ia membawa maksud ‘penentang’ atau pemberontak yang mempunyai tiga bintang pada bendera mereka.

Dua tangan yang diletakkan pada mata menandakan penculikan, kata jurutera bioperubatan berusia 26 tahun, Wisal al-Ahdab, merangkap timbalan ketua persatuan EEMAA di daerah Midan.

“Kami perlu mencipta perkataan yang tidak wujud dalam perbendaharaan kata orang cacat pendengaran di Syria supaya mereka boleh bertukar maklumat dan berkongsi perasaan mengenai keganasan,” kata wanita muda itu.

Sebaik bahasa isyarat baru itu dimuktamadkan dan dipersetujui, rakaman video dilakukan dan dimuat naik ke laman Facebook supaya rakan yang mengalami masalah sama seperti mereka dapat belajar mengenainya. Bahkan mereka sama-sama boleh berbincang mengenai bahasa isyarat berkenaan.

Mengikut data rasmi, ada kira-kira 200,000 orang cacat pendengaran direkodkan di Syria, tetapi pengerusi EEMAA, Ali Ekriem berkata, jumlah sebenarnya adalah lima kali ganda lebih tinggi.

Jurutera komputer berusia 35 tahun itu berkata, kesengsaraan yang ditanggung oleh individu cacat pendengaran sebenarnya lebih besar berbanding orang normal kerana terpaksa mengharungi kehidupan dalam peperangan dan tidak mampu membuatkan orang sekeliling memahami keadaan mereka.

Ketakutan dan kebimbangan tidak dapat memahami serta menyedari keadaan semasa sebenarnya boleh mengundang bahaya. Bahkan ia juga amat menyedihkan, kata Ryad, 21, yang membantu mencipta isyarat baru itu.

Ketika dia sekeluarga melarikan diri daripada peperangan yang tercetus di kampungnya dengan menaiki trak, tembakan dari penyerang hendap mengorbankan ibunya, bapa saudara, ibu saudara, tiga sepupu dan adik perempuannya yang masih kecil.

Malangnya Ryad tidak mendengar apa-apa ketika kejadian yang menyayat hati itu berlaku. Dia juga tidak mendengar bunyi tembakan yang mengorbankan keluarganya.

“Saya tidak menjangka perkara itu berlaku. Pada awalnya, saya tidak faham apa yang terjadi. Saya nampak ibu tertunduk, kemudian sepupu pula jatuh. Hanya apabila saya melihat kepala adik berdarah ditembusi peluru, barulah saya sedar kami sedang diserang,” katanya.

Seorang lagi adik lelakinya terbunuh terkena bom ketika bermain bola sepak di jalan.

Bahasa penyatuan

Ryad kini bekerja di kilang pembuat kabel, namun sampai sekarang perkara mengerikan yang disaksikannya itu menghantuinya setiap hari. Kalau boleh, dia mahu berhijrah ke negara lain untuk menenangkan diri dan memulakan kehidupan baru. Namun dia tahu, bukan mudah untuk rakyat Syria meninggalkan negara itu. Risiko ditahan sentiasa ada, apatah lagi kini ada banyak tempat pemeriksaan.

“Jadi anda perlu membuatkan diri anda boleh difahami menggunakan gerak badan. Selalu juga pegawai yang bertugas ketika sekatan jalan raya menganggap kami cuba mempermain-mainkan atau mempersenda mereka,” kata Ryad.

“Sebelum ini, kebanyakan orang yang cacat pendengaran cuba mengelak daripada meletakkan kekurangan mereka di dalam kad pengenalan, tetapi kini semua orang mahu berbuat demikian terutama apabila tiba di pusat pemeriksaan,” katanya lagi.

Kakak Ryad, Bisher Ekreim yang berusia 32 tahun, faham benar bagaimana sukar dan bahayanya jika berada dalam keadaan tidak difahami.

Ketika kembali ke rumahnya di Damascus pada 2011, dia tersepit di tengah-tengah penunjuk perasaan antiregim dan pasukan keselamatan bercadang menyuraikan mereka.

Dia cuba melarikan diri dan bersembunyi di kawasan perumahan di Midan, tetapi masalahnya, tiada siapa dapat membantu kerana dia tidak dapat berkomunikasi dengan mereka dan keadaan menjadi lebih buruk.

Bisher bernasib baik apabila ada orang yang memahami keadaannya dan menyelamatkannya. Namun peristiwa itu menyebabkan dia berasa trauma dan sampai sekarang Bisher tidak berani keluar bersendirian.

Duduk di tepi tingkap rumahnya yang musnah dalam peperangan, dia terkenang kembali pengalaman silamnya.

Pada Julai 2012, pihak pemberontak menawan sebahagian besar Midan dan selepas pertempuran, barulah tentera berjaya menguasai tempat kawasan berkenaan.

Ketika pertempuran itulah, ibunya mengarahkan dia untuk mengemas barang-barangnya, tetapi tidak memberitahu sebab mengapa mereka perlu melarikan diri.

“Semua orang berasa cemas. Mereka menarik saya ke satu arah dan menolak saya ke arah lain. Tiada siapa bercakap dengan saya. Tiada siapa yang memberi penerangan, tetapi mereka tidak benarkan saya mendekati tingkap,” katanya.

Oleh kerana tidak tahu, dia mengemas barangnya perlahan-lahan. Tindakannya itu menyebabkan ahli keluarganya panik dan marah.

“Emak layan saya macam saya orang bodoh. Saya tidak bodoh, cuma tiada orang yang menerangkan keadaan sebenar kepada saya,” sambungnya.

Keluarga Ryad mendapatkan perlindungan di Lebanon selama dua tahun sebelum mengambil keputusan kembali ke Damascus.

“Peperangan ini menghancurkan dan memisahkan segala-galanya,” kata Bisher sambil membuat isyarat menceritakan kesengsaraan yang dialami ketika penghijrahan beramai-ramai dalam keadaan terpaksa itu. Dia sedih kerana dalam keadaan kecoh itu, rakan baik bertukar menjadi agresif.

“Saya harap satu hari nanti kami akan bertemu semula. Saya harap orang cacat pendengaran akan berkongsi satu bahasa yang sama sekali lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 11:28 AM