KHAIRUL
BANYAK mempelajari budaya dan cara kerja luar sepanjang lima tahun merantau.
KHAIRUL (kanan) bersama rakannya di tapak kerja.
KHAIRUL (tengah) bersama rakannya ketika bekerja di Timur Tengah.
KERJAYA sebagai jurutera di luar negara mengajar Khairul erti pengorbanan.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Pendapatan bulanannya pernah mencecah sehingga lima angka ketika bekerja sebagai jurutera di negara Timur Tengah.

Namun, bukan mudah untuk meraih pulangan lumayan dan itu dilalui Khairul Anwar Muhamad, 29, sepanjang lima tahun merantau mencari rezeki di negara orang.

Bukan saja perlu berjauhan dengan keluarga, Khairul juga tiada pilihan melainkan belajar menyesuaikan diri dengan pelbagai perkara termasuk budaya dan cara hidup masyarakat di sana.

“Sepanjang tempoh lima tahun, saya ditugaskan bekerja di beberapa negara Timur Tengah antaranya Qatar, Iran, Dubai, Oman dan pernah juga ke Texas, Amerika Syarikat.

“Dari segi bahasa, tiada masalah besar kerana mereka faham dan boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Cuma, mereka lebih berterus terang termasuk ketika menegur kesalahan. Mental kena kuat jika mahu terus bekerja di situ,” katanya yang boleh bertutur dalam bahasa Thai.

Bercerita lanjut, Khairul Anwar berkata, kerana tuntutan kerja, dia juga perlu sentiasa bersiap sedia untuk menempuhi perjalanan lama di atas kapal sebelum tiba ke lokasi tugasan.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, perjalanan jauh ternyata memenatkan namun dia akur demi melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Menaiki kapal dari satu tempat ke tempat lain itu normal dan itu antara yang tidak dapat dilupakan ketika menempuh perjalanan selama 24 jam dari Qatar ke Iran.

“Boleh dikatakan, perjalanan itu amat memenatkan kerana mengambil masa sehari namun terpaksa demi melaksanakan tugas.

“Tidak semua orang berpeluang merasai pengalaman sebegitu jadi saya rasa bertuah dan menganggap ia sebahagian cabaran yang perlu dilalui,” katanya.

Khairul berkata, selepas lima tahun bermastautin, dia kini kembali bekerja di tanah air.

Katanya, meskipun pendapatannya tidak lumayan seperti dulu, dia gembira kerana mempunyai lebih masa dengan keluarga.

“Dulu, saya hanya dapat pulang ke tanah air ketika cuti saja, itu pun bukan selalu.

“Walaupun kerap berulang- alik, perasaan sedih berjauhan dengan keluarga tetap ada setiap kali mahu meninggalkan mereka.

“Alhamdulillah, kini saya berpeluang kembali ke sini dan akan menggunakan pengalaman selain pengetahuan yang ada untuk berbakti di negara sendiri” katanya yang sesekali ke negara lain di Asia Tenggara untuk tugasan luar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 11:41 AM