Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


Alor Setar: Dua anggota polis berpangkat sarjan mejar dan koperal berusia 57 dan 53 tahun, direman sehingga 26 Mac ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah daripada pengusaha lori di Kulim.

Perintah tahanan reman selama enam hari mulai hari ini, dikeluarkan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen Alor Setar, Rusmini Mat Rashid.

Suspek tiba di perkarangan lokap mahkamah sekitar 9.30 pagi diiringi beberapa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tahanan reman berkenaan dikeluarkan bagi kedua-dua suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Media semalam melaporkan dua anggota polis terbabit antara yang ditahan SPRM di Kulim kerana disyaki mengambil rasuah bulanan antara RM850 dan RM900 daripada beberapa pengusaha lori sebagai wang perlindungan supaya tidak disaman bagi kesalahan lalu lintas.

Suspek ditahan di tempat kerja masing-masing di Balai Polis Mahang, Kulim dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim antara jam 9 pagi hingga 10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 12:11 PM
Pegawai SPRM membawa dua anggota polis ke Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk mendapat perintah reman, hari ini. - Foto AMRAN HAMID