Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Polis menolak permohonan pihak penganjur untuk mengadakan debat antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, 25 Mac ini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, pihaknya sudah menerima permohonan daripada wakil penganjur dari Kumpulan Media Karangkraf jam 3 petang semalam mengikut peruntukan Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Menurutnya, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq bagaimanapun menolak permohonan itu selepas mengambil kira faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai.

Katanya, penolakan itu sudah dimaklumkan kepada penganjur semalam dan akan disusuli dengan keputusan secara bertulis yang akan diserahkan kepada pemohon.

“Alasan-alasan penolakan permohonan adalah disebabkan kelewatan mengemukakan borang pemberitahuan seperti mana yang dinyatakan mengikut Seksyen 9(1) APA 2012 iaitu pihak penganjur hendaklah membuat pemberitahuan kepada Pegawai yang Menjaga Daerah Polis iaitu Ketua Polis Daerah 10 hari sebelum perhimpunan.

“Keduanya, tempat perhimpunan yang dipilih iaitu MRSM Kuala Kangsar adalah kawasan sekolah dan ia adalah satu tempat larangan di dalam Jadual Pertama (Seksyen 3 APA 2012),” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Hasnan berkata, polis juga ada menerima bantahan-bantahan secara bertulis iaitu lapan laporan polis dibuat oleh orang awam dan penduduk yang bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga.

Katanya, polis berharap semua pihak akur kepada arahan itu dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sekiranya ia diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 12:40 PM