Muhaamad Hafis NawawiFardy BunggaSofyan Rizal Ishak dan Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) kekal sebagai antara program terbesar dunia dalam pasaran maritim dan aeroangkasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ini terbukti dengan penganjuran edisi ke-14 ini yang berjaya mengumpulkan lebih 55 peratus daripada 100 syarikat terbaik dunia dan 550 pempamer dari 38 negara.

Katanya, penganjuran kali ini juga amat membanggakan dengan penyertaan lebih 300 delegasi pertahanan dan keselamatan termasuk 55 kapal perang dan kapal laut serta 106 pesawat.

"Penganjuran ini bukan saja mampu menjana keuntungan tetapi juga memberi manfaat secara langsung kepada pertahanan dan keselamatan negara.

"Kita menjangka lebih 40,000 pengunjung menyertai program ini dan ini membuktikan kemampuan Lima'17 untuk menjana peluang perniagaan dan perhatian umum," katanya berucap merasmikan Lima'17 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini.

Menurutnya, penganjuran kali ini juga lebih bermakna dengan penyertaan pelbagai kementerian untuk sama-sama menjayakan acara berprestij ini.

Katanya, pembabitan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Pengangkutan membuktikan penganjuran kali ini menampilkan ciri-ciri baru dan program inovatif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 12:44 PM
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika berucapa merasmikan LIMA ‘17 di Langkawi, hari ini. - Foto DANIAL SAAD