Wakil dari pelbagai jabatan berkaitan mengadakan perjumpaan dengan keluarga Farah Marcella (lima dari kanan) di SMK Seri Kota Puteri. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Johor Bahru: Keluarga pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri, Farah Marcella Bandie, 18, yang menumpang di pusat snuker di Taman Kota Puteri, Masai, Johor Bahru akan dibantu pelbagai jabatan berkaitan supaya mereka memiliki tempat tinggal lebih bersesuaian dan menjalani kehidupan lebih baik.

Pelbagai pihak mengadakan perjumpaan bersama keluarga berkenaan di SMK Seri Kota Puteri pada hari ini termasuk wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Pendidikan Negeri Johor, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Parlimen UMNO Pasir Gudang, Puteri UMNO Johor, pengurusan beberapa sekolah dan penghulu mukim Plentong.

Selain sejumlah bantuan kewangan bulanan menerusi bantuan kanak-kanak daripada JKM, keluarga berkenaan juga akan menerima bantuan deposit sewa rumah daripada MAIJ selain bantuan bersesuaian daripada Parlimen UMNO Pasir Gudang.

Ibu Farah Marcella, Hasliza Hassan, 40, berkata dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada pelbagai pihak yang tampil membantu keluarganya.

“Allah memberi cahaya kepada keluarga kami selepas Farah Marcella mencapai keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Khamis lalu dan kejayaannya tular dalam media sosial.

“Saya difahamkan usaha pencarian rumah sewa sudah dijalankan pelbagai pihak prihatin dan bagi kami sekeluarga, kami juga bersedia untuk berpindah sekiranya ia sesuai dan berhampiran tempat kerja saya iaitu pusat snuker berkenaan,” katanya.

Kelmarin Harian Metro memaparkan kisah keluarga berkenaan tinggal di pusat snuker hingga mendorong seorang guru disiplin SMK Seri Kota Puteri menawarkan tempat perlindungan kepada Farah Marcella sebelum menduduki SPM.

Ia membolehkan pelajar berkenaan memperoleh kecemerlangan dalam SPM.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 1:14 PM