Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Enam dalang utama syarikat pelaburan forex VenusFX yang menjanjikan pembayaran keuntungan harian ditahan selepas memperdaya 23,259 individu membabitkan kerugian RM80 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima sebanyak 408 laporan polis berhubung skim pelaburan forex berkenaan.

Katanya, hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan memperdaya semua mangsa untuk membuat pelaburan antara RM2,000 hingga RM40,000 kepada syarikat forex yang tidak wujud.

"Satu Operasi Ops Nuri 3/17, dilancarkan semalam, untuk membanteras kegiatan penipuan pelaburan ini di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.

"Hasil serbuan, seramai enam individu berjaya ditahan terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia l28 hingga 38 tahun," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman selama 21 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta pencegahan Jenayah 1959 Pindaan 2014 (Akta 297).

Selain itu katanya, polis turut merampas komputer riba, 10 telefon bimbit, 10 keping kad ATM dan lima kenderaan pelbagai jenis bernilai RM750,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 7:52 PM