Datuk Seri Jalani Sidek

Dua hari lagi akan bermula saingan Terbuka Malaysia di Kuching, Sarawak, kejohanan badminton paling berprestij pernah dianjurkan kerana kekal bertaraf Siri Super Priemer.

Saya pasti tumpuan sudah tentu akan terarah jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei (gambar) yang memburu kejuaraan ke-12.

Belumpun hilang penat muncul juara Seluruh England, Chong Wei pantas menyatakan mahu memenangi Terbuka Malaysia.

Bagi saya, itu saja sudah menunjukkan betapa jiwa besarnya sangat berbeza berbanding pemain lain. Itulah Chong Wei.

Mampukah pemain nombor satu dunia itu memenuhi impian itu? Saya sama sekali tidak meragui kemampuannya.

Sebab dengan persiapan yang cukup rapi termasuk tidak menyertai Terbuka India yang berlangsung ketika ini, saya fikir Chong Wei kini sudah cergas sepenuhnya dan bersedia untuk beraksi di Kuching.

Sebenarnya bukan Chong Wei yang ingin saya berikan penekanan untuk dikongsikan minggu ini. Sebab kita semua sudah tahu di mana tahap Chong Wei.

Saya lebih gemar untuk melihat kejayaan barisan pemain yang lain terutama gandingan beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta beregu lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Difahamkan aura Terbuka Malaysia kali ini cukup berbeza apabila tiket sudah habis dijual! Pujian wajar diberikan kepada warga Sarawak dan juga mungkin sebahagian dari Sabah yang benar-benar menantikan kejohanan berprestij ini.

Sampaikan ada teman serta saudara terdekat bertanyakan kepada saya bagaimana untuk mendapatkan tiket. Maaf, bab itu tak dapat saya nak tolong!

Jadi apa petanda kepada tiket yang habis dijual itu? Petandanya adalah peminat tempatan terutama di Sarawak dan Sabah mahu melihat aksi berkualiti daripada barisan pemain negara.

Saya tidak fikir mereka hanya mahu melihat barisan pemain ternama dunia lain termasuk Chong Wei atau mungkin Lin Dan (China).

Sebaliknya, sudah tentu mereka juga mahu melihat sejauh mana prestasi barisan pemain Malaysia yang lain.

Sebab itu seperti saya tekankan tadi, pemain seperti Peng Soon-Liu Ying serta V Shem-Wee Kiong harus memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya.

Peminat sudah ada di belakang mereka, jadi sekarang hanya tinggal mereka perlu membuktikan kemampuan di atas gelanggang.

V Shem-Wee Kiong umpamanya meskipun terkandas di suku akhir pada Seluruh England serta Terbuka India, tidak bermakna akan gagal melakar sejarah di bumi Sarawak.

Bagi saya, kesilapan utama di kedua-dua kejohanan berprestij itu adalah terlalu memberi ruang kepada lawan untuk menyerang menyebabkan mereka berdepan tekanan.

Hakikatnya, mereka berkemampuan menewaskan siapa saja lawan ketika ini jika menggunakan kelebihan sedia ada - kepantasan ketika bermain.

Saranan untuk memberikan aksi terbaik sebagai menebus kepercayaan diberikan peminat bukan saja untuk gandingan dua beregu tadi saja, malah juga kepada barisan pemain negara yang lain.

Berikan aksi terbaik anda. Tidak kisah jika tewas sekali pun, asalkan anda memberi saingan sengit.

Sebab ini adalah Terbuka Malaysia, pentas terbaik untuk anda beraksi di depan penyokong sendiri.

Takkan anda terus mahu melihat hanya Chong Wei yang menang? Tepuk dada tanya selera. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:09 AM