LIU Ying (kanan) kecewa tak dapat beraksi di final.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hasrat beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk mara ke pentas final Terbuka India sekali gus memberi suntikan tambahan menjelang Terbuka Malaysia ini di Kuching, Sarawak bermula Selasa ini, nampaknya tidak kesampaian.

Semalam, gandingan nombor enam dunia itu terpaksa menarik diri dari kejohanan bertaraf Siri Super yang berlangsung di New Delhi kerana Liu Ying tidak sihat akibat sakit kepala dan batuk tidak henti-henti.

Liu Ying berkata, dia serta Peng Soon tiada pilihan lain selain perlu menarik diri.

“Hari ini (semalam) saya berasa tidak sihat dan terpaksa menarik diri dari saingan separuh akhir. Impian untuk beraksi di final tidak kesampaian.

“Saya harap dalam tempoh beberapa hari ini dapat pulih sepenuhnya dan mampu beraksi di Terbuka Malaysia,” katanya.

Seperti Liu Ying, Peng Soon juga menyuarakan perkara sama.

“Harap kami berdua dapat kembali cergas sepenuhnya untuk menghadapi saingan minggu depan (Terbuka Malaysia),” katanya.

Peng Soon-Liu Ying sepatutnya dijadual bertemu pilihan pertama dari China Zheng Siwei-Chen Qingchen di separuh akhir semalam.

Namun penarikan diri pemenang perak Sukan Olimpik itu, lawan mereka diberikan kemenangan percuma sekali gus melangkah ke pentas final.

Penarikan diri Peng Soon-Liu Ying menyaksikan cabaran negara di Terbuka India berakhir selepas kelmarin beregu utama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong tersingkir di suku akhir.

Peng Soon-Liu Ying terpaksa berhempas pulas kelmarin untuk menempah tiket ke separuh akhir sebelum menewaskan gandingan Korea Selatan Kim Gi Jung-Shin Seung Chan 22-20, 19-21, 21-15.

Di Terbuka Malaysia nanti, Peng Soon-Liu Ying yang muncul naib juara Seluruh England bulan lalu, diletakkan selaku pilihan kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:10 AM