HUP Wei (dua dari kanan) dan Nauraj bersama Baden di upacara penyampaian hadiah Terbuka Australia semalam.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Atlet lompat tinggi negara menguasai arena Sydney Olympic Park apabila menamatkan saingan satu dua di Kejohanan Olahraga Terbuka Australia, semalam.

Lee Hup Wei menghadiahkan emas dengan ketinggian 2.24 meter untuk mengetepikan cabaran rakan sepelatih Nauraj Singh Randhawa, kedua dengan 2.21m manakala gangsa milik peserta tuan rumah, Joel Baden 2.18m.

Pingat emas itu yang kedua buat Hup Wei dalam tempoh dua minggu selepas menjuarai Kejohanan Olahraga Terbuka Bankstown, Australia minggu lalu.

Nyata latihan dua bulan di bawah jurulatih Alex Stewart memberi pulangan memberangsangkan sekali gus mencerahkan peluang atlet lompat tinggi meneruskan legasi emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos ini.

Hup Wei jelas memberi amaran awal kepada Nauraj bahawa dia kini berada di tahap terbaik selepas kali terakhir menghadiahkan emas di temasya dwitahunan itu di Palembang pada 2011.

Ketua jurulatih olahraga Zainal Abas gembira dengan pencapaian Hup Wei yang disifatkannya sudah menghampiri catatan peribadi terbaiknya.

“Hup Wei sudah kembali berada di landasan terbaik. Semalam, dia cuba memperbaiki catatan terbaik peribadi 2.27m apabila mencuba 2.28m namun tidak berjaya. Bagaimanapun pencapaian 2.24m itu satu petanda positif.

“Harapan untuk kekalkan emas di Sukan SEA tampak cerah,” katanya.

Tegas Zainal, berdasarkan ranking Asia Tenggara, dua atlet negara itu berada di kedudukan satu dua dan bermakna peluang mereka untuk beraksi di Sukan SEA cerah biarpun ketika ini ada enam atlet lompat tinggi yang sudah melepasi syarat kelayakan.

Bagaimanapun Nauraj masih mengekalkan status sebagai atlet terbaik negara dengan catatan 2.29m yang dilakukannya di Terbuka Singapura tahun lalu.

Dia turut cemerlang menghadiahkan emas ketika Kejohanan Olahraga Klasik Canberra dengan lompatan 2.25m awal bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:10 AM