BAIZURI (kiri) dan Mohd Irwan mula memasarkan produk baja organik berjenama GreenAmino-G sejak pertengahan tahun lalu.
BAJA organik jenis cecair melalui proses (R&D) selama tiga tahun sebelum dipasarkan.
PRODUKTIVITI dan kualiti tanaman meningkat dengan penggunaan baja organik.
BAJA organik juga dikatakan mampu membaiki, merawat dan menambah organisma hidup dalam tanah.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Selari dengan dasar kerajaan dan fokus Jabatan Pertanian ke arah pertanian yang lebih lestari, dua anak muda ini mengambil inisiatif menghasilkan baja cecair organik.

Menerusi garis panduan serta bantuan pakar Jabatan Pertanian, Baizuri Mamat, 31, (kiri) dan Mohd Irwan Mohamad Komaruddin, 42, memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pada 2014.

Menurut Baizuri, sebagai usahawan Jabatan Pertanian, mereka bermula dengan menanam hasil pertanian sebelum mengambil langkah menghasilkan baja berkenaan.

“Pada awalnya, kami bermula sebagai pengeluar hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan termasuk cili, peria, timun dan rock melon.

“Selepas berada dalam bidang ini, kami terfikir untuk hasilkan baja organik atas dasar tanggungjawab sosial selain mengguna pakai dalam penanaman kami sendiri,” katanya.

Baja organik berjenama GreenAmino-G keluaran syarikat SiS Technology (M) Sdn Bhd itu mula dikormesialkan sejak pertengahan tahun lalu.

Baizuri berkata, hasil pertanian daripada baja kimia mampu memberi keuntungan yang tinggi namun, mampu memberi kesan kepada kesihatan manusia.

“Statistik menunjukkan bilangan pesakit barah semakin meningkat dan seperti yang kita ketahui, penyakit berbahaya ini berpunca daripada pemakanan.

“Penghasilan baja organik ini adalah usaha kami untuk mengubah landskap pemakanan di negara ini dan menyumbang kepada pertanian lestari,” katanya.

Katanya, hasil penanaman juga berbeza berbanding tanaman yang menggunakan baja kimia dan lebih berkualiti serta produktiviti tinggi.

“Hasil tanaman dari baja organik sebenarnya lebih berkualiti dan baik. Selain itu, ia juga mampu membaiki, merawat dan menambah organisma hidup dalam tanah.

“Baja organik juga mampu memberi nilai tambah kepada tanaman iaitu memastikan kemampanan selain turut menguatkan imuniti pokok.

“Pokok sihat dan kuat membantu dalam penurunan kadar penggunaan racun pokok bagi petani komersial tapi untuk tanaman di rumah tidak perlu gunakan racun,” katanya.

Sementara itu, Mohd Irwan berkata, terdapat lima bahan yang digunakan untuk menghasilkan baja organik jenis cecair itu dan ia perlu melalui beberapa proses sebelum mendapat produk akhir.

“Antara bahan yang digunakan adalah ikan, pisang, gula merah dan dua bahan lain. Sekiranya anda ingin hasilkan sendiri di rumah, hanya gunakan tiga bahan utama terbabit dan perap bahan itu selama sebulan.

“Selepas melalui proses pemerapan, tapis bahan berkenaan dan simpan dalam bekas yang tidak terdedah dengan cahaya terus,” katanya.

Katanya, tumbuhan landskap dan pokok hiasan juga gunakan baja organik itu bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti tanaman selain mengawal penyakit.

“Semua tumbuhan memerlukan asid amino yang kebiasaannya diambil daripada makanan laut jadi, semua tanaman boleh menggunakan produk ini cuma berbeza dari segi kekerapan dan cara penggunaan.

“Sebagai contoh, penanaman fertigasi menggunakan baja AB untuk perakaran jadi, baja organik ini berperanan sebagai baja tambahan untuk memberi makanan secara folia iaitu melalui daun,” katanya.

Mereka yang berminat mendapatkan baja organik GreenAmino-G atau proses menghasilkan baja organik sendiri di rumah, hubungi Facebook GreenAmino-G atau e-melkan ke sistechnology22@gmail.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 10:45 AM