DUA pelajar Institut Muzik Nasional Afghanistan bersedia sebelum mengadakan persembahan.
KEMUNCULAN orkestra Zohra beri peluang kepada remaja perempuan Afghanistan tunjukkan bakat.
NEGIN Khpolwak dilantik menjadi konduktor Zohra.
ZARIFA yakin masyarakat Afghanistan akan terima muzik.
PERSEMBAHAN orkestra Zohra di Davos dapat liputan meluas media.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my

Kumpulan orkestra simfoni wanita pertama Afghanistan tampil dengan satu tekad - mahu mengubah sikap konservatif masyarakat yang melihat pembabitan dalam dunia muzik sebagai perbuatan tidak bermoral apatah lagi bagi golongan itu.

Dua konduktor orkestra itu, Negin Khpolwak dan Zarifa Adiba mengakui usaha berkenaan amat sukar tetapi ia membuahkan hasil yang cukup manis apabila kehadiran mereka mula diterima.

Menurut Negin, dia mendapat sokongan bapanya untuk mengikuti kursus di Institut Muzik Nasional Afghanistan dan kemudian menyertai kumpulan orkestra Zohra. Namun seluruh ahli keluarganya tidak bersetuju dengan pandangan bapanya dan membantah keputusan mereka dua beranak. Ketegangan memuncak apabila mereka memutuskan hubungan kekeluargaan dengan bapanya.

“Semua mengatakan bapa saya bukan lagi adik-beradik mereka. Lebih menyedihkan, datuk juga tidak mahu menerima bapa saya,” kata Negin.

Sebenarnya Negin yang kini berusia 20 tahun, sudah mengetahui kewujudan institut muzik itu sejak kecil ketika tinggal di rumah anak yatim di Kabul, tempat dia membesar. Bapanya menghantar dia ke rumah anak yatim berkenaan kerana bimbangkan keselamatannya jika terus tinggal di rumah sendiri.

Ketika itu, kampungnya yang terletak di wilayah Kunar di timur Afghanistan berada di bawah pemerintahan Taliban.

Institut muzik itu satu-satunya sekolah di Afghanistan yang membenarkan pelajar lelaki dan perempuan belajar dalam satu kelas. Pelajarnya terdiri daripada anak yatim dan kanak-kanak jalanan. Institut itu memberi mereka peluang untuk menikmati kehidupan baru.

Negin sendiri belajar bermain piano sebelum dilantik menjadi konduktor kumpulan orkestra berkenaan.

Saluran sebar mesej positif

Orkestra Zohra dianggotai oleh lebih 30 remaja perempuan berusia antara 12 hingga 20 tahun. Perkataan Zohra itu diambil sempena nama dewi muzik dalam kesusasteraan Parsi. Pada Januari lalu, orkestra itu yang membawakan muzik tradisional Afghanistan dan klasik Barat memulakan siri jelajah antarabangsa pertamanya dengan mengadakan persembahan pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

Kumpulan ini kemudian meneruskan perjalanan mereka ke empat bandar lagi di Switzerland dan Jerman.

“Penubuhan orkestra ini bertujuan menyebarkan mesej positif kepada masyarakat. Kami mahu menghantar mesej positif kepada remaja perempuan, menggalakkan mereka dan seisi keluarga untuk sama-sama terbabit dalam dunia muzik,” kata pengarah dan pengasas institut itu, Ahmed Naser Sarmast.

Ahmad Naser sendiri pernah merasai kebencian Taliban terhadap muzik. Dalam satu konsert yang dihadiri oleh Ahmad Naser pada 2014, seorang pengebom Taliban meletupkan dirinya sendiri ketika konsert berlangsung.

Letupan itu menyebabkan Ahmad Naser mengalami kecederaan dan mengorbankan nyawa seorang lelaki Jerman.

Orkestra Zohra ditubuhkan pada 2014 apabila seorang pelajar institut berkenaan bernama Meena, bertanya kepada Ahmad Naser, apakah ada kumpulan muzik yang membolehkan semua pelajar perempuan berlatih bersama. Pertanyaan itulah yang mencetuskan idea penubuhan Zohra.

Malangnya nama Meena tiada dalam Zohra. Tahun lalu, Meena memberitahu pihak sekolah dia mahu menghadiri majlis perkahwinan kakaknya di kampungnya di wilayah Nangarhar. Malangnya dia terus menghilang, yang menandakan kegawatan keadaan penduduk di kawasan dilanda perang, sistem komunikasi yang teruk dan kemiskinan pula semakin meningkat.

Walaupun sekolah terputus hubungan dengannya, Ahmad Naser berharap satu hari nanti Meena akan kembali ke sekolah dan menyertai Zohra.

Ubah tanggapan keluarga

Seorang lagi konduktor Zohra, Zarifa Adiba, 18, juga mengakui terpaksa berdepan dengan tentangan keluarga seperti yang dialami Negin.

Ketika dia mula memasuki institut itu pada 2014, Zarifa hanya memberitahu ibu dan bapa tirinya, tetapi merahsiakan perkara berkenaan daripada empat abang dan bapa saudaranya kerana tahu mereka tidak akan bersetuju dengan keputusannya.

Ibu dan bapa tirinya cuba memberitahu kepentingan muzik tanpa menyebut langsung mengenai Zarifa, tetapi mereka tetap tidak percaya.

“Jika abang dan bapa saudara tahu saya belajar atau bermain alat muzik di sini, pasti mereka akan memaksa saya berhenti sekolah. Mereka ada tanggapan yang sangat negatif mengenai muzik,” katanya.

Menyedari tentangan keluarga yang amat kuat itu membuatkan Zarifa teragak-agak untuk turut serta dalam persembahan orkestra itu di Davos. Namun akhirnya dia mengalah pada kehendak hati, dilantik sebagai konduktor dan mendapat perhatian meluas media di sana. Malah dia juga muncul di kaca televisyen di Switzerland.

Hatinya berdebar-debar sekembalinya ke tanah air, tetapi siapa menyangka, bapa saudaranya menyambut Zarifa dengan tangan terbuka. Malah mereka mengucapkan tahniah atas pencapaiannya.

Walaupun dua abangnya masih tidak suka dengan pembabitannya dalam dunia muzik, sokongan keluarga yang diterimanya kini menguatkan semangat Zarifa. Dia tahu, satu hari nanti kedua-dua abangnya akan menerima keputusannya itu.

“Saya sudah mengubah pandangan keluarga, kini sudah sampai masanya untuk remaja lain pula cuba mengubah persepsi keluarga masing-masing terhadap muzik. Saya yakin, satu hari secara perlahan-lahan masyarakat Afghanistan akan berubah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 3:30 PM