BERGAYA Tema Motor GP.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmetro.com.my


Perlumbaan motor GP bukan sahaja sebagai medan perlumbaan motosikal berkuasa tinggi sebaliknya menjadi ‘lokasi’ pengeluar motosikal berjenama dunia memperkenalkan produk terbaru mereka.

Bagi Ducati, selain versi 1199 Panigale, model yang turut mendapat perhatian ialah 899 Panigale yang mempunyai sesaran lebih kecil iaitu 898cc berbanding abangnya yang dilancarkan pada 2014.

Di Malaysia, biarpun harga jentera buatan Itali ini mencecah RM100,000 tanpa insurans, ia tetap menjadi kegilaan peminat jentera dua roda.

Seorang pemilik jentera ini, Mohamad Nazmi Zailan, 31, berkata enjin jentera miliknya yang dibeli pada penghujung 2014 tidak perlu lagi diusik kerana kuasa dua lejang L-Twin 898 Superquadro sudah cukup berkuasa dan mampu menjana 148hp.

Menurutnya, dengan hanya penukaran tema badan tulen serta penambahan beberapa aksesori, sudah cukup membuat mata terpukau melihat keindahan jentera ciptaan negara ‘piza’ itu.

Bagi pemilik, untuk menampakkan kelainan, keseluruhan pelindung badan dibaluti pelekat khas 3M dengan tema Panigale British Superbike Championship yang menyerlahkan kegarangannya seolah-olah motosikal lumba.

Selain itu, penambahan pelindung kerusi binaan khas dan penukaran lampu belakang integrated menjadikan jentera tampak lebih garang.

Tidak dilupa penambahan beberapa aksesori lain seperti tuil brek, pendikit minyak Rizoma dan sebagainya menjadikan jentera lebih unik dan bergaya.

Menurut pemilik, model ini tidak perlu menerima usikan yang melampau baik pada enjin atau luaran jentera kerana selain rekaannya, ia turut dilengkapi pelbagai teknologi canggih.

Dengan hanya menekan butang, penunggang boleh memilih mod tunggangan mengikut keselesaan dan ia turut dilengkapi sistem keselamatan Ducati Trection Control (DTC), Ducati Electronic Suspension (DES), Ducati Quick Shift (DQS) Engine Brake Control (EBC) yang berasaskan perlumbaan dan sistem Ride by Wire (RbW).

Selain itu, kenikmatan sebenar pemanduan jentera ini terserlah apabila ditunggang pada kelajuan melebihi 240km/j.

Mengenai kuasa hentian, tidak perlu khuatir kerana ia dilengkapi sistem brek cakera berkembar Brembo pada bahagian hadapan.

Selain itu keseimbangan jentera yang berat hampir 170 kilogram ini dikawal sepit udang hadapan Showa 43mm terbalik (USD) dan Monoshock Sachs di bahagian belakang yang ditambat pada lelengan ayun jentera.

Menurut pemilik yang juga ahli kelab Perak Ducati Owner Club (PDOC), dia hanya mengeluarkan belanja kurang RM5,000 untuk menghiasi jentera itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 7:50 AM