BUKTIKAN karya terbitan universiti tempatan setanding dengan filem antarabangsa.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Membanggakan apabila filem Chowrasta terbitan sepenuhnya FiTA Studios dan Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi naskhah pertama tempatan dipasarkan ke India dalam bahasa Tamil.

Oleh itu, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara FiTA Studios dan Nation Film dengan syarikat dari India, Modern Digitech Media LTD berlangsung, baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah FiTA Studios Datuk Prof Abdul Razak Mohaideen berkata pencapaian itu membuktikan karya terbitan universiti tempatan setanding dengan filem antarabangsa.

“Filem Chowrasta dialih suara kepada bahasa Tamil untuk penonton di India dan ini menandakan produksi di bawah UiTM mampu menerbit karya berkualiti,” katanya.

Beliau yang juga pengarah Chowrasta dan Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi berkata, usaha sama berkenaan mencipta sejarah baru dalam industri perfileman tanah air kerana membabitkan penuntut dan kakitangan UiTM.

“Menerusi MoU ini, saya berharap Chowrasta membuka laluan kepada banyak filem tempatan untuk menembusi pasaran India.

“Selain itu, saya berrharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa depan agar karya anak seni tempatan dapat ditonton di serata dunia,” katanya.

Filem Chowrasta yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records mengangkat kisah benar kehidupan Naib Canselor UiTM Profesor Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Penghasilan filem adaptasi buku biografi Sahol berjudul Mencorak Destini itu juga buah tangan Razak untuk 600,000 alumni UiTM di seluruh negara.

Ia dibintangi pelakon Chem Amar, Rosyam Nor, Fauzi Nawawi, Nora Danish, Risteena Munim, Azhari Zain dan Aminah Rhapor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 2:05 AM