USAHAWAN kuih kapit Kaplova, Muhammad Arif Yahya (kiri) melayan pelanggan.
DR Sharif (tiga dari kiri) bersama peserta yang menerima sijil penyertaan.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus menggiatkan program dalam melahirkan Agropreneur Muda dengan menjadikan pertanian sebagai sektor moden dan dinamik.

Program Agropreneur Muda (PAM) ditubuhkan bagi menarik minat golongan muda untuk terbabit secara langsung dalam bidang pertanian.

Peranan PAM secara umum ialah memberikan perkhidmatan sokongan kepada usahawan tani muda yang mendaftar menjadi ahli PAM.

PAM ditugaskan untuk memajukan golongan sasarnya terdiri daripada usahawan tani yang mendaftar sebagai ahli PAM.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron berkata, PAM yang berkonsepkan generasi muda kini melangkah menjadi lebih dinamik dan moden.

Beliau berkata, seramai 3,521 peserta sudah berdaftar sebagai usahawan PAM MARDI dan mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan masing-masing.

“Visi PAM untuk melahirkan Agropreneur Muda yang progresif, berdaya saing, kreatif, inovatif dan berpendapatan tinggi.

“Selain khidmat nasihat kepakaran, usahawan Agropreneur Muda sentiasa diberi peluang untuk menyertai pelbagai program termasuk MARDI Agropreneurs Product Showcase di River Walk Village dan The Artisan Fair 2016 Hartamas di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program AGORA Agropreneur Muda 2017 di Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah MARDI 1 Dr Umi Kalsom Abu Bakar serta Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Perniagaan MARDI Hassan Said.

MARDI turut melancarkan video korporat Agropreneur Muda MARDI dan menyampaikan sijil penyertaan serta kad alumni AGORA-1 kepada peserta.

Dr Sharif berkata, AGORA berasal dari bahasa Yunani. Ia berasaskan amalan pada abad ke-18 kerajaan Yunani yang akan mengadakan ‘tempat berkumpul’ atau berhimpun di tengah Bandar Yunani purba seperi kota Athens untuk mendengar kenyataan raja atau majlis pemerintah.

“Tempat berkumpul itu kemudian berkembang menjadi pasar yang memberi peluang kepada perniaga menjual barangan mereka.

“Produk seperti hasil pertanian dijual di tengah-tengah deretan tiang. Aktiviti penjualan dilakukan semasa ucapan raja atau pemerintah memeriahkan lagi suasana di tempat itu.

“Perkara itu mencetus inspirasi PAM MARDI untuk mengadakan Program AGORA Agropreneur Muda

MARDI. Ia adalah program untuk memberi pendedahan kepada usahawan muda MARDI berusia antara 18 hingga 40 tahun,” katanya.

Menurutnya, ia berkenaan konsep keusahawanan moden, asas perniagaan, ‘game show’ serta sesi ceramah teknologi berkaitan tanaman, ternakan dan industri asas tani (IAT).

Program AGORA Agropreneur Muda MARDI akan diadakan di seluruh negara bermula di Zon Tengah (Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan), diikuti dengan Zon Utara (Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis), Zon Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang), Zon Selatan (Melaka, Johor) serta Zon Pantai Timur Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 12:18 PM