BUAH belinjau
myMetro

Pokok belinjau adalah tumbuhan yang boleh didapati di Asia Tenggara dan banyak ditanam atau tumbuh secara meliar.

Di Malaysia, pokok belinjau banyak tumbuh secara meliar terutama di Terengganu. Ia sejenis pokok yang tidak bermusim dan kadang-kadang pada masa dan pokok yang sama terdapat bunga, buah muda dan buah yang masak.

Pokok ini boleh dibiakkan menggunakan biji benih, namun jarang-jarang ditanam dalam jumlah yang banyak.

Dari segi botani, bahagian yang dipanggil buah itu ialah bijinya. Buah belinjau berbentuk bujur dan mempunyai tiga lapisan kulit. Bahagian kulit luar buah berwarna hijau ketika muda dan menjadi merah setelah masak.

Lapisan kedua kulit agak keras dan berwarna kuning pada peringkat muda dan bertukar menjadi coklat gelap setelah masak. Lapisan ketiga kulit buah belinjau berwarna putih, nipis dan dalam bahagian ini terdapat biji belinjau yang boleh dimakan.

Pokok belinjau ditanam daripada pelbagai varieti yang berbeza dari segi saiz buahnya. Ada yang mengeluarkan buah berukuran antara 2.5 hingga 3.5 sentimeter (sm) panjang dan 2.5 sm lebar manakala bagi buah berukuran kecil 1.5 hingga 2.5 sm panjang dan 1 hingga 1.5 sm lebar.

Buah belinjau diproses untuk dijadikan keropok atau emping. Daun dan buah belinjau dijadikan penyedap rasa dalam masakan.

Pucuk mudanya dibuat sayur masak lemak atau masak air dengan rasanya agak manis. Buah belinjau yang muda sedap dimasak bersama daging cincang atau dibuat kari.

Buah yang sudah masak direbus dan dimakan seperti kacang tanah rebus. Selain direbus, buah belinjau boleh dibakar dengan sabut.

Ia kemudian dibuang kulit dan ditumbuk sehingga leper dan boleh terus dimakan seperti kerepek. Kayunya digunakan sebagai bahan membuat papan.

Bahagian yang digunakan dalam perubatan tradisional ialah buah dan daunnya.

Sumber - Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 12:20 PM