MOHAMAD Idrus (kiri) mendengar penerangan mengenai teknologi veggie factory.
SAYURAN yang menggunakan teknologi veggie factory.
ANAK pokok disemai terus.
TEKNOLOGI tanaman sayuran secara tertutup.
DAUN salad boleh dimakan segar.
ABDUL Razak (kiri), Mohamad Idrus (tengah) dan Wan Mohammad Zukarnain menikmati sayuran segar tanpa menggunakan racun kimia.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Masalah kekurangan tanah mendorong Jabatan Pertanian Negeri Selangor (JPNS) membangunkan ‘veggie factory’ (kilang sayuran) bagi menjamin bekalan makanan negara mencukupi.

Ia antara teknologi tanaman sayuran secara tertutup bagi menghasilkan tanaman makanan berkualiti, segar dan selamat dimakan.

Teknologi ini mengguna pakai sistem pencahayaan LED sebagai media fotosintesis dan mampu mempercepatkan tempoh tuaian berbanding penanaman secara konvensional.

Dengan pengawalan cahaya, karbon dioksida (C02), kelembapan, suhu, kebersihan ruang dan sistem pengudaraan yang baik, ia dapat menghasilkan tanaman sayuran yang bermutu tinggi.

Teknologi ini mampu mengatasi isu utama dalam sektor tanaman sayur-sayuran antaranya faktor kekurangan tanah atau kawasan pertanian berskala besar.

Pengarah JPNS Mohamad Idrus Ab Hamid berkata, pihaknya menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk membangunkan model ‘Veggie Factory’ sebagai agen pengembangan teknologi pertanian.

Beliau berkata, makmal R&D berkenaan mula beroperasi sejak Februari lalu membabitkan makmal seluas 320 kaki persegi (16 x 20) dan mempunyai sembilan rak tanaman.

“Ia boleh menghasilkan 960 titik pelbagai jenis sayuran dan keluasan ini adalah 1:4 lebih kecil berbanding kaedah penanaman secara konvensional.

“Teknologi ini juga 100 peratus bebas daripada penggunaan racun kimia,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran model veggie factory di Pejabat Pertanian Daerah Gombak dan Petaling, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Pertanian Kuasa Usaha Bahagian Hortikultur DOA Serdang Wan Mohammad Zukarnain Baharudin dan Pegawai Pertanian Pejabat Pertanian Daerah Gombak dan Petaling Abdul Razak Abdul Rahman.

Mohamad Idrus berkata, Selangor adalah sebuah negeri maju di Malaysia dan mempunyai kepesatan pembangunan yang tinggi di kawasan bandar menyebabkan pengeluaran sumber pertanian semakin mengecil dan terhad.

“Selari dengan teknologi ini, ia mampu bersaing dengan arus kemajuan pembangunan negeri dengan meminimumkan penggunaan kawasan pertanian tetapi meningkatkan produktiviti hasil tanaman.

“Secara tidak langsung, teknologi ini dapat membantu meningkatkan peratusan tahap sara diri (SSL) sayuran negeri Selangor khasnya dan negara amnya.

“Ia bagi menampung keperluan sumber pertanian terutama di kawasan bandar yang mempunyai bilangan kepadatan penduduk paling tinggi di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, konsep penanaman ‘veggie factory’ adalah secara dalam bangunan dan dapat mencegah kemasukan serangan penyakit dan perosak tanaman.

“Teknologi ini juga dapat membantu dari segi jaminan keselamatan makanan supaya ia dapat dipertingkatkan seperti yang disarankan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

“Faktor cuaca di Malaysia seperti kemarau, hujan, banjir, jerebu dan pencemaran udara yang sering berlaku banyak memberi kesan pada penurunan hasil tanaman sayuran secara konvensional.

“Dengan aplikasi teknologi ini, secara tidak langsung ia dapat mengatasi masalah cuaca dan persekitaran tanaman,” katanya.

Beliau berkata, antara tanaman sayuran seperti salad, lobak, bayam, daun ketumbar, tomato, mint, pasli Itali, daun selasih dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 12:28 PM