MAHASISWA UMS mencuba basikal elektrik yang diterima menerusi Program Sikal 1Malaysia.

Kota Kinabalu: Sebanyak 1,200 basikal elektrik diserahkan kepada enam universiti di negara ini bagi mempromosikan teknologi hijau kepada mahsiswa.

Ia diagihkan kepada Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, inisiatif itu menerusi Program Sikal 1Malaysia (SER1IM) membabitkan peruntukan RM4 juta.

Beliau berkata, ia bagi mempromosi dan menggalakkan penggunaan mobiliti rendah karbon dalam kalangan belia.

“Pendedahan diberikan kepada golongan muda terhadap kenderaan elektrik dua roda dapat membentuk minda dan memberi kesedaran berhubung isu pemanasan global dan kepentingan amalan hidup yang mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program SER1IM di Dewan Resital, UMS, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS Prof Madya Dr Ismail Ali.

Pada majlis itu, UMS menjadi penerima pertama SER1IM dengan 200 basikal elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 3:31 AM