Ahmad Salim Bachok

Tindakan Nico Rosberg, juara perlumbaan Formula One (F1) tahun lalu, untuk bersara daripada kancah perlumbaan F1 dunia benar-benar mengecewakan saya. Sebagai peminat tegar sukan permotoran F1, pengunduran Nico sesungguhnya telah menjejaskan sedikit sebanyak ‘kegilaan’ saya terhadap sukan unik dan mewah ini.

Tidak cukup dengan pemergian Nico daripada persada F1, pengumuman Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini bahawa Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak akan menganjurkan perlumbaan F1 mulai tahun hadapan sudah tentu amat mengecewakan saya.

Bagaimanapun, saya mula mengenali sukan permotoran F1 jauh lebih lama daripada kewujudan Litar Antarabangsa yang dirasmikan pembukaannya pada 7 Mac 1999 iaitu lebih 19 tahun lalu. Nama legenda juara F1 seperti Jackie Steward, pemandu F1 asal Scotland yang menjadi juara pada 1969, 1971 dan 1973 telah lama saya kagumi.

Begitu juga kehebatan dua pemandu Brazil iaitu Emerson Fittipaldi (juara 1972 dan 1974) serta mendiang Ayrton Senna yang menjadi juara pada 1988, 1990 dan 1991. Kematiannya akibat nahas ketika perlumbaan di litar Imola, Itali pada 1 Mei 1994 amat mengejutkan dunia F1 ketika itu, termasuk diri saya sendiri.

Selain nama di atas, pelumba F1 lain seperti Niki Lauda (Austria), Nigel Mansell (Britain) dan Alain Prost (Perancis) turut pernah menjadi pelumba idola saya ketika zaman kegemilangan mereka dulu. Apa pun, nama Michael Schumacher, pelumba Jerman yang memegang rekod juara F1 sebanyak tujuh kali iaitu sejak 1994 hingga 2004 sentiasa tersemat di hati.

Terkini, pelumba berkulit campuran dari Britain, Louis Hamilton yang menjadi juara dunia tiga kali iaitu pada 2008, 2014 dan 2015 adalah pelumba F1 terbaik di mata saya. Ini lebih-lebih lagi apabila beliau menjadi pelumba bagi Mercedes AMG Petronas, iaitu pasukan juara dunia F1 tiga kali berturut-turut yang mendapat tajaan syarikat minyak negara, iaitu Petronas.

Berbalik kepada isu penamatan kontrak penganjuran perlumbaan F1 di Litar Sepang mulai tahun hadapan, walaupun sedih dan kecewa, saya akur bahawa tindakan kerajaan itu adalah yang terbaik. Untuk makluman, perlumbaan terakhir di litar keramat sepanjang 5.543 kilometer dan mempunyai 15 selekoh itu akan diadakan pada September depan.

Selepas itu, deruman enjin formula one tidak akan kedengaran lagi di litar yang dianggap terbaik di dunia itu. Bagaimanapun, kompleks litar tercanggih rekaan Hermann Tilke dari Jerman seluas kira-kira 930 hektar itu akan terus menjadi medan bagi sukan permotoran bertaraf dunia lain, terutamanya MotoGP.

Alasan bahawa penganjuran itu perlu ditamatkan kerana pulangan yang terus menurun saban tahun berbanding kos penganjurannya sejak 1999 amat perlu diberi perhatian. Ia juga dibuat selepas mengambil kira laporan dan pandangan daripada syarikat pengendali litar itu sendiri, iaitu SIC, mengenai kesan kewangan penganjuran sukan itu terhadap semua pihak, terutamanya kepada kerajaan yang terpaksa menanggung kos yang sentiasa meningkat setiap tahun.

Menurut laporan, pulangan daripada penganjuran kejohanan di litar Sepang itu juga semakin merudum baik dari segi jumlah penonton yang datang ke litar, mahupun jumlah kedatangan pelancong asing ke negara ini pada setiap kali perlumbaan itu berlangsung.

Mungkin gara-gara terlalu banyaknya litar F1 lain yang kini menganjurkan kejohanan sama menyebabkan pelancong boleh memilih untuk tidak ke Malaysia bagi menonton kejuaraan F1. Bayangkan, ketika mula-mula menganjurkan sukan ini pada 1999, hanya 16 negara saja menjadi tuan rumah kepada kejohanan dunia ini. Tetapi kini ia meningkat kepada 21 negara dengan enam daripadanya adalah di negara Asia.

Maka kerana itulah bagi saya penamatan penganjuran perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang adalah tepat. Kita tidak perlu terlalu sentimental di dalam hal ini. Tindakan ini diambil semata-mata atas dasar ekonomi dan perniagaan. Di dalam perniagaan, kalau sentiasa mengalami kerugian maka tindakan apakah yang perlu diambil?

Sama ada menjual perniagaan atau menutupnya saja. Mungkin ada jalan dan pilihan lain, tetapi dalam isu Formula One di litar Sepang ini, menghentikan perniagaan adalah antara kaedah terbaik yang boleh dilakukan.

Mungkin ada pihak yang tidak bersetuju. Mereka mungkin mengambil contoh sukan bola sepak yang menerima pembiayaan ratusan juta ringgit setiap tahun, tetapi mutu sukan kita sentiasa berada di taraf yang mengerikan, iaitu di kedudukan 25 peratus negara tercorot di dunia dalam bola sepak.

Tetapi bola sepak adalah sukan rakyat dan semua rakyat yang memiliki sepasang kaki boleh menyertainya, berbanding sukan litar formula 1 yang hanya boleh disertai oleh mereka yang bertaraf Louis Hamilton, Sebastian Vettel, Valtteri Bottas atau Felipe Massa saja yang mampu menyertainya.

Kita hanya pernah sebentar memiliki pemandu seperti Alex Yoong dan Fairuz Fauzy yang tidak mampu menyerlah di arena antarabangsa.

Apapun kita masih boleh terus berbangga kerana sebuah syarikat Malaysia, Petronas, akan terus mengibarkan bendera negara kita di serata dunia kerana menjadi penaja kepada pasukan Mercedes AMG Petronas, iaitu pasukan terbaik dan paling berjaya di arena Formula One sekarang.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 4:04 AM