Irfan Khairi

Tahun lalu saya dijemput memberi ceramah di empat negara iaitu Sepanyol, Korea, Amerika Syarikat dan India, selain mengendalikan pelbagai program di IK Institute of Business di Dubai serta membina rangkaian kenalan perniagaan dari serata dunia.

Namun satu ketika dulu, saya sangat pendiam dan berat mulut. Teringat saya ketika di bangku sekolah, memang tidak pernah angkat tangan untuk menjawab soalan guru. Ketika aktiviti berkumpulan, pastinya tidak mahu berinteraksi sesama rakan sekelas.

Waktu rehat tengah hari pula, selepas makan, saya ke perpustakaan membaca buku. Waktu pendidikan jasmani saya menjadi pelajar terakhir dipilih untuk satu-satu pasukan kerana tidak pandai berkawan. Adakalanya, hendak bersama rakan juga rasa kurang selesa.

Mat salih menggelar orang seperti saya sebagai ‘introvert’ - orang yang pemalu dan tidak suka bergaul dengan orang ramai. Tidak kira apa gelarannya, yang pasti, saya lebih selesa berseorangan, berdiam diri dan tidak bergaul. Biarlah orang lain yang menjawab soalan guru sebab jika saya jawab takut pula salah! Nanti lagilah malu.

Tetapi, apa yang mengubah saya? Bagaimana seorang yang ‘introvert’ boleh berjaya dalam bidang perniagaan yang memerlukan komunikasi, keberanian dan keyakinan?

Teringat saya pada 2005 ketika ‘dipaksa’ memberi taklimat di hadapan peserta mengenai perniagaan Internet. Ketika itu hanya 30 peserta di dalam bilik seminar. Itu pun dijemput seorang penceramah lain. Badan berpeluh dan tangan menggigil, saya terlupa apa yang nak disampaikan, terasa sakit perut pun ada! Ruang untuk saya berikan taklimat hanyalah 20 minit tetapi terasa umpama dua jam!

Ketika itulah teringat pesan seorang guru yang saya sangat hormati.

“Irfan, kalau sudah ada ilmu, tidak baik simpan untuk diri sendiri saja. Kongsikan ilmu itu supaya orang lain pun boleh dapat manfaat.”

Saya gagahkan juga walaupun dalam ketakutan untuk berkongsi ilmu perniagaan bermula lebih 12 tahun yang lalu. Pada mulanya, terasa seperti paksa rela. Tetapi, niat itu memang ada. Keperibadian saya yang pendiam menyukarkan saya untuk berhadapan orang ramai.

Ini juga sebabnya saya memilih berniaga secara dalam talian sejak mula bergelar usahawan pada 2000. Tidak berani berhadapan dengan orang, takut bersemuka untuk menjual dan tentunya malu-malu kucing memperkenalkan produk sendiri!

Namun, bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Yang bermula sebagai ‘terpaksa’ diberikan masa, saya mula lihat betapa seronoknya menyampaikan ilmu ditambah pula ilmu itu dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

Adakalanya kita sabotaj diri sendiri apabila berasa tidak boleh berubah. Sebagai manusia, ramai antara kita mempunyai masalah keyakinan diri yang rendah. Di hati kata mahu, tetapi, secara fizikalnya tidak berani melakukan walaupun kita dapat lihat kebaikannya.

Dalam perniagaan, sememangnya kebolehan berkomunikasi itu penting. Ia satu bonus sekiranya kita boleh bercakap di hadapan ramai orang.

Ada yang malu memulakan perniagaan kerana tidak berani berjumpa prospek. Ada juga yang malu-malu meletakkan harga atau sebut harga produk dan perkhidmatan. Apabila ditanya berapa harga perkhidmatan, jawapannya adalah “Alah. berapa-berapa pun bolehlah”. Dia yang berniaga, pembeli pula yang perlu fikirkan harga!

Malu

Sebenarnya, kita perlu buang perasaan malu untuk berniaga. Kalau berjumpa prospek pun berasa malu, bagaimana pula hendak berniaga? Saya fikirkan tiga perkara ini apabila timbul rasa malu dalam perniagaan.

1. Menjalankan perniagaan perkara yang mulia dan amat digalakkan oleh agama. Berniaga bukan meminta-minta dibantu orang lain, jadi buangkan sifat malu.

Selagi perniagaan dijalankan mengikut landasan Islam yang betul seperti tanpa menipu, riba dan menindas orang, maka tidak perlu malu. Anda umpama memberi perkhidmatan dan membantu orang lain dengan perniagaan yang anda jalankan.

Fikirkan seperti anda membantu seseorang. Pastinya apabila membantu seseorang, anda tidak berasa malu, bukan? Begitulah juga dengan perniagaan sebagai bantuan menyelesaikan sesuatu masalah.

2. Sifat ‘malu’ perkara paling baik, yang boleh terjadi kepada pesaing anda. Lagi anda malu, lagi mudah pesaing mengaut pasaran perniagaan anda! Lebih mudah mereka menyaingi anda kerana mereka tidak malu seperti anda!

Mana tidaknya, apabila malu pastinya anda tidak berani mendekati prospek anda. Apabila tidak mendekati prospek, inilah peluangnya pesaing untuk mendekati mereka pula. Apabila malu, kita akan kurang menguar-uarkan perniagaan kita. Pesaing pula akan bangga mempromosikan perniagaan mereka kerana tidak malu. Sekiranya anda malu, anda yang rugi dalam bidang perniagaan.

3. Malu sifat semula jadi yang ada pada setiap insan. Tanggungjawab kita untuk memastikan sifat itu tidak menghentikan kita meraih rezeki sembilan persepuluh yang dijanjikan dalam perniagaan. Bak kata orang, malu bertempat. Siapa malu, dialah yang rugi.

Kenali lebih dalam perniagaan anda dan dalami ilmu perniagaan, bak orang kata, ‘Tak kenal maka tak cinta’. Apabila kita lebih mengenali dunia perniagaan, kita akan lebih cintakan perniagaan yang dijalankan. Apabila cinta, pastinya malu pun akan hilang!

Tidak kira apa pun keadaan anda, sama ada anda pendiam, tiada keyakinan diri, introvert, pemalu dan sewaktu dengannya, tidak kira apa saja matlamat anda, pastinya anda boleh mencapainya Insya-Allah.

Sejak kecil, saya sememangnya introvert. Apabila berumur 20-an baru dapat melihat potensi diri dalam bidang perniagaan. Sekiranya anda atau anda mempunyai kenalan seperti ini, jangan risau kerana dengan kemahuan sendiri dan pendedahan sikit demi sedikit, kita dapat mengubah diri kita sendiri.

Saya akui, mengubah diri sendiri bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan boleh dilakukan secara drastik. Ia memerlukan masa, tetapi perlu juga ‘terpaksa’ pada mulanya.

Sekiranya kita tidak mula mencuba mengubah diri kita sendiri, pastinya kita tidak akan berubah. Percubaan itulah yang perlu kita paksa sedikit demi sedikit. Memang akan berasa takut, risau dan bimbang apa akan terjadi, namun semua itu hanyalah mainan fikiran saja.

Ketika saya di bangku sekolah, tidak pernah termimpi pun saya satu hari nanti berbicara di hadapan pelanggan, peserta dan pelajar di arena antarabangsa dan mengembangkan perniagaan ke tahap global kerana saya pendiam, pemalu dan suka berseorangan satu ketika dulu.

Kepada ibu atau bapa yang sedang membaca, mempunyai anak sebegini pastinya membuatkan anda risau dan sedih. Nasihat saya, tidak perlu risau atau sedih. Ketika muda, mungkin potensi anak belum dapat dilihat, seperti saya sendiri ketika itu.

Banyakkan memberi bimbingan sedikit demi sedikit. Bantu anak mencari apa yang diminati dan beri sokongan sebaik mungkin. Insya-Allah, tunggu masa dan rezeki, mereka akan dapat lihat potensi diri sendiri dan menjadi insan yang hebat satu hari nanti - jauh lebih hebat daripada saya!

Minggu hadapan, saya akan kongsikan pula kelebihan yang dimiliki seorang introvert untuk menjadi usahawan hebat. Jangan lepaskan!

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 1:03 PM