DI Malaysia banyak ketengah motif daun sirih dan bunga melur serasi dengan budaya tempatan.
Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my

Pada zaman kegemilangan empayar Islam, ramai cendekiawan Islam menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi termasuk bidang kesenian yang masih dimanfaatkan hingga kini.

Lantas seni dalam dekorasi Islamik juga antara yang menarik diketengahkan. Ia menerima banyak pengaruh dari Rom dan Mesir selain sering dizahirkan di dalam masjid, istana, bandar atau air pancut, tempat mandi dan seni bina setempat.

Menurut Pengarah I-NAI Venture Holdings Sdn Bhd Nik Ahmed Mazlan, dekorasi Islamik menekankan tiga elemen utama iaitu motif tumbuhan, geometri dan kaligrafi.

“Reka bentuk itu terus berkembang dari semasa ke semasa dan berbeza mengikut lokasi dengan dipengaruhi budaya setempat.

“Tiga elemen utama itu terus dikekalkan dan menjadi teras reka bentuk Islamik namun, ia berkembang dari segi motif. Motif geometri adalah infiniti dan tafsiran serta penterjemahnya berbeza-beza mengikut individu serta tempat.

“Bermula dengan satu titik, ia boleh berkembang meluas dengan pelbagai kemungkinan dan menerusi persekitaran baru seperti sekarang, tidak mustahil dapat hasilkan motif geometri yang baru.

“Reka bentuk Islamik di Malaysia sendiri adalah pelbagai. Contohnya di Johor, hasil rekaan banyak diinspirasi daripada buah pala dan nanas kerana sesuai mengikut budaya serta geografi setempat,” katanya.

Secara amnya, dekorasi Islamik di Malaysia semakin meluas dan dikatakan sudah mula mendapat perhatian masyarakat.

Menurut Nik Ahmed, seni bina Menara Berkembar KLCC juga menyelitkan nilai binaan Islamik dengan tapaknya diinspirasi dari Menara Qutub Minar.

Jadi, secara amnya boleh dikatakan seni bina dan dekorasi Islamik sudah meluas di negara kita.

“Malah perkembangan dekorasi Islamik di negara ini, dapat dilihat di tempat utama seperti masjid, istana, pusat pemerintahan seperti parlimen, mercu tanda dan reka bentuk di kawasan bandar.

“Begitu juga dengan jalan dan sesetengah bangunan komersial turut mengguna pakai ciri reka bentuk Islamik bagi mengetengahkan identiti negara ini sebagai sebuah negara Islam.

“Jika dulu, ramai yang mahukan reka bentuk dan seni bina rumah dengan gaya Inggeris dan Barat, namun kini mula cenderung terhadap rekaan Islamik,” katanya.

Beliau berkata, ciri dekorasi Islamik di negara ini banyak dipengaruhi corak dan budaya tempatan seperti penggunaan daun sirih.

“Di Malaysia, daun sirih simbol mengalu-alukan kedatangan. Jadi, dekorasi Islamik di Malaysia banyak mengetengahkan motif daun sirih dan bunga melur yang serasi dengan budaya tempatan.

“Beberapa hasil seni ukiran dinding dan siling di Parlimen juga memiliki dekorasi Islamik namun turut menerapkan budaya tempatan dengan penggunaan daun sireh sebagai coraknya,” katanya.

Sebagai syarikat pakar seni bina dan hiasan Islamik, I-NAI turut komited mengembalikan dan mengembangkan kejayaan seni serta seni bina Islam.

Nik Ahmed berkata, pihaknya mempunyai keupayaan, kepakaran dan kreativiti untuk mencipta inovasi baru untuk generasi akan datang dan pada masa sama dapat memperjuangkan dakwah Islam dengan cara tersendiri.

“Salah satu jihad seni kami ialah melalui program ‘Save Syria’ iaitu membuat rekaan dan lukisan tiga dimensi Masjid Aleppo yang sudah musnah supaya dapat mengembalikan bukti kewujudan dan lambang keagungan seni bina dan hiasan Islamik.

“Hasil lukisan ini, bukan saja disimpan sebagai lukisan saja namun bakal dibangunkan dalam bentuk fizikal bagi pembinaan masjid-masjid baru.

“Selain itu, kami juga melakukan usaha berterusan dengan menghasilkan replika seperti pintu Masjid Nabawi, jam Menara Zamzam dan replika Masjidil Haram,” katanya.

Di I-NAI, segala hasil bermula dengan rekaan grafik sebelum diukir tangan dan pengukir diimport dari Uzbekistan.

Maklumat lanjut boleh layari www.inaiventure.com atau kunjungi Lot 16, Jalan PJU 3/39, Sunway Damansara Technology Park, Petaling Jaya, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 10:46 AM