SEBAHAGIAN daripada 1,000 peserta menunggu pelepasan.
DAROYAH (kanan) turut berkayuh.
AKSI peserta bersama pelbagai jenis basikal.
PEMENANG cabutan bertuah bergambar kenangan bersama penganjur.
KRU Kayuhan Sihat Selangor Sementa 2017 merakamkan gambar kenangan bersama Daroyah.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


Jika berlumba dapat memberi kepuasan kepada yang sukakan kelajuan, nikmat berbasikal beramai-ramai secara santai pula lebih mengasyikkan.

Malah, kerana keasyikan itu juga, seramai 1,000 peminat aktiviti berbasikal hadir dalam program Kayuhan Sihat Selangor Sementa 2017 di Sementa, Selangor baru-baru ini.

Biarpun matlamat utama menggalakkan aktiviti riadah secara sihat terutama menerusi sukan berbasikal, sesuatu yang harus dipuji, kayuhan anjuran Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Klang dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sementa itu turut menjadi platform menyatupadukan masyarakat berbilang kaum tanpa mengira peringkat umur dan usia.

Disertai Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor merangkap ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi diiringi Pegawai Daerah Klang Mohd Zainal Mohd Nor dan Setiausaha MPK Adi Faizal Ahmad Tarmizi, kedinginan pagi mengiringi konvoi berbasikal yang bermula jam 8 pagi itu.

Oleh kerana ia kayuhan santai, rata-rata peserta dilihat tenang berkayuh beriringan biarpun ada yang membawa anak kecil.

Peserta dibawa berbasikal merentasi tujuh kampung dengan pemandangan indah kawasan DUN Sementa.

Menariknya kayuhan ini, ia tidak sekadar menyihatkan badan pada aspek jasmani, malah juga sudut kerohanian dengan pergaulan bersama masyarakat yang antaranya dari kawasan luar, selain menghayati keindahan alam kawasan DUN Sementa.

Pengarah Program Kayuhan Sihat Selangor Sementa 2017 merangkap Pengerusi Induk Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Klang Hariz Aizat Mahyudin berkata, menerusi kayuhan itu peserta dibawa berkayuh bersama merentasi tujuh kampung sebelum kembali semula ke garisan permulaan.

Katanya, tempoh dua jam diambil bagi melengkapkan kayuhan sejauh 32 kilometer (km) sekitar DUN Sementa yang bermatlamat menyatupadukan masyarakat melalui penganjuran aktiviti sihat.

“Sihat ini secara umumnya bukan sekadar pada jasmani semata-mata, malah turut membabitkan rohani.

“Apa yang kita cuba terapkan dalam program ini adalah supaya masyarakat sama-sama dapat hidup dan menjayakan aktiviti dalam suasana harmoni dengan mengetepikan perbezaan umur, jantina, pangkat, bangsa mahupun perbezaan ideologi atau pendapat.

“Hanya menerusi persefahaman ini, barulah kita dapat hidup harmoni sebagai satu negara majmuk yang maju,” katanya.

Menurut Hariz Aizat, biarpun berkonsepkan kayuhan santai dan tidak menawarkan hadiah kemenangan, bagi menghargai kehadiran peserta, pihaknya turut menjalankan aktiviti sampingan menerusi cabutan bertuah dengan hadiah keseluruhan mencecah RM20,000.

Malah, sebagai bukti ia sebuah program yang menyatupadukan masyarakat menerusi aktiviti sihat, program berkenaan turut diserikan dengan persembahan tradisional pelbagai bangsa yang dipersembahkan penduduk DUN Sementa, gotong-royong oleh 100 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membersihkan kawasan masjid, selain pemberian bantuan ‘food stamp’ kepada penduduk.

“Kita berbangga kerana kejayaan program ini terletak pada sokongan peserta perseorangan dan ahli kelab basikal tempatan seperti Sementa Cycling Club (SCC), Jom Kayuh Santai (JKS), MTB Frenz dan Rantau Panjang Cycling Club (RPCC) yang ada antaranya datang bersama seisi keluarga.

“Malah, kami berterima kasih dengan sokongan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Pejabat Daerah dan Tanah Klang serta penaja yang membantu melancarkan program sihat ini.

“Harapan kami sebagai penganjur agar aktiviti sihat seperti berbasikal ini terus menjadi aktiviti harian mahupun mingguan dalam kalangan masyarakat.

“Kerana masyarakat yang sihat jasmani dan rohani sajalah mampu membawa kemajuan dan kejayaan serta kemakmuran kepada negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 1:48 AM