KAWASAN terjejas akibat gempa.
PEMBINAAN semula bangunan madrasah memerlukan sumbangan awam.
PELAJAR melihat kesan tsunami ketika kunjungan ke kapal.
PENGAGIHAN bantuan kepada penduduk.
KUNJUNGAN ke sebuah panti asuhan.
ROMBONGAN UiTM berjaya sampai ke Pidie Jaya.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Menempuh perjalanan udara selama dua jam, kemudian menyusuri laluan darat kira-kira 80 kilometer dalam tempoh tiga jam sebelum sampai ke lokasi misi Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) Antarabangsa Indonesia 2017 di Pidie Jaya, Aceh bukan pengalaman mudah buat sukarelawan daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kumpulan merangkumi 17 pelajar dan empat pengiring itu mengagihkan bantuan bernilai RM10 ribu dalam bentuk barangan serta wang bagi meringankan beban penduduk yang rata-rata berpendapatan purata 80,000 rupiah sebulan untuk menampung keperluan isi rumah.

Meskipun sukar memahami dialek Indonesia diungkap penduduk kampung berkenaan yang berselang-seli menuturkan bahasa Aceh, rombongan terbabit yang turut disertai empat mahasiswa Universiti Ar-Raniry tidak sukar memahami kesusahan dan kesukaran penduduk.

Melihat sisa runtuhan rumah hanya berbaki timbunan batu dan pasir selain perabot mahupun pinggan mangkuk

retak membayangkan situasi gempa berlaku. Kesannya terhadap psikologi apabila ada antara anak penduduk enggan pulang ke kediaman mereka.

Belajar kenal kesusahan

Pengarah Program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) Antarabangsa Indonesia 2017, Amirah Syairah Omar tidak menyangka program kemanusiaan yang terpaksa ditangguhkan beberapa kali atas beberapa faktor akhirnya berjaya dilaksanakan baru-baru ini, memberi hikmah besar kepada komuniti terjejas.

“Mengikut perancangan awal, kami mahu jalankan program ini pada hujung tahun lalu. Namun, atas faktor kekangan dana dan masa persiapan begitu singkat, kami hanya dapat melaksanakannya sekarang.

“Tidak mahu menidakkan perancangan Allah SWT lebih baik apabila keputusan program dirombak bulan lalu, ia jauh lebih sesuai apabila mangsa gempa di kawasan Pidie Jaya pada awal tahun lalu dapat menerima manfaat.

“Awalnya kami mahu menyasarkan misi kemanusiaan ini ke kawasan Aceh Besar iaitu tempat berlakunya tsunami besar pada 2004, mula diubah kepada kawasan Pidie Jaya selepas mendapat nasihat ejen tempatan kerana ramai penduduk terjejas.

“Kami dapat maklumat mengenai bantuan yang sesuai dengan bajet diperuntukkan dan program berlangsung dengan lancar mengikut perancangan,” katanya.

Menyentuh impak penganjuran terhadap dirinya, Amirah berkata, satu kepuasan dapat melihat golongan berkenaan gembira dengan kedatangan kumpulannya.

“Biarpun berdepan dengan musibah, penduduk tidak sedikit pun mengeluh mahupun menyalahkan bencana gempa. Lebih kagum mereka jelas bersyukur kerana selamat dan melihatnya sebagai tanda kekuasaan serta ujian.

“Saya banyak belajar terutama mengenai kesabaran dan keteguhan iman mereka meneruskan kelangsungan hidup walaupun kehidupan ibaratnya ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ kerana sebahagian besar mereka adalah petani,” katanya.

Rapatkan ukhuwah

Bagi mahasiswa Universiti Ar-Raniry di Aceh, Agus Faryandi, kedatangan taulan dari Malaysia membantu masyarakat Aceh dapat merapatkan lagi hubungan antara satu sama lain.

“Sebaik dipelawa rakan dari Malaysia menyertai aktiviti amal ini, saya rebut kesempatan itu.

“Saya sendiri pernah berada dalam situasi serupa dengan penduduk kampung di sini, malah lebih teruk lagi ketika tsunami menghentam kampung saya, Desa Suak Timah Kabupaten di Aceh Barat, 13 tahun lalu

“Justeru saya faham trauma dan kesakitan mereka. Saya datang mendengar cerita dan memberi dorongan agar semangat terus kuat menghadapi tempoh pasca gempa. Penyertaan saya dan rakan seuniversiti diharap dapat merapatkan ukhuwah bersama saudara dari Malaysia,” katanya.

Kesan gempa masih terasa

Ketua kampung, Jamaluddin Mohd Ali berkata, seramai 134 daripada 150 keluarga terjejas dalam gempa baru-baru ini. Katanya, mereka bukan saja kehilangan harta benda, kediaman juga tidak selamat didiami menyebabkan ramai penduduk bertindak tinggal dalam khemah.

“Biarpun nampak struktur rumah masih berdiri, hakikatnya kukuh bangunan itu masih tidak dapat dipastikan apabila rata-rata penduduk khuatir dengan beberapa siri gempa kecil yang masih menyusul hingga hari ini.

“Mereka trauma dan bimbang menerima kecelakaan kalau tidur di dalam rumah. Malah, dua masjid musnah selain bangunan pusat tahfiz dibina mendidik anak kampung juga rosak teruk.

“Semestinya kami berharap dengan kedatangan mahasiswa universiti UiTM supaya dapat sampaikan berita mengenai keadaan kami yang bergelut membangunkan semula kehidupan selepas gempa,” katanya.

Contoh buat generasi akan datang

Pengiring siswa yang juga Pensyarah Kanan Kejuruteraan Mekanikal Dr Amirul Abd Rashid berkata, OPKIM platform baik buat anak buahnya jadikan pendedahan langsung mengenai peranan mereka terhadap komuniti.

“Menerusi projek ini, siswa didedahkan kepada pelbagai skil bagi memberi nilai tambah bukan saja mengenai pengurusan sesuatu program, juga ‘soft skill’ lain seperti berkomunikasi dan memimpin.

“Di sini, mereka memahami peranan mereka bukan saja mengejar pencapaian baik akademik semata-mata, juga perlu menyumbangkan kebaikan kepada komuniti. Itu sebenarnya hasrat fakulti, umumnya UiTM sendiri,” katanya.

Pihaknya berharap daripada kejayaan dan kelancaran program ini, dapat menjadi contoh kepada generasi masa depan untuk terus menggiatkan usaha kerja kemasyarakatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 1:52 AM