TIMOLOP Lolobuhon atau selam kolam kerbau.
ANTARA aktiviti yang perlu dilakukan peserta iaitu aktiviti manaan atau mengangkat kayu.
MARAMPANAU atau berjalan menggunakan buluh atau kayu.
AKTIVITI melastik atau molositik.
SALLEH (lima dari kiri) bersama Johnny (empat dari kiri) dan Steve (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama pemenang.
Asmidar Zainol
metahad@hmetro.com.my


Usia bukan halangan kepada pasangan suami isteri, Guanius Salagan, 50, dan Kona Liau, 45, untuk mengekalkan kejuaraan kali kedua bagi kategori Elite dalam program Sungkadon Obstacle Sprint Run di Kampung Sungkadon, baru-baru ini.

Bagi Guanius, pemenang 13 kali acara Mount Kinabalu International Climbathon dan KL Tower International Towerthon Challenge, acara ini tidak kurang mencabar berbanding pelbagai acara yang disertai sebelum ini.

“Jika acara lain, saya perlu memanjat dan menurun tangga atau gunung dan bukit bukau, tetapi acara hari ini memerlukan stamina yang lebih untuk merentasi laluan enam kilometer bersama 18 halangan permainan tradisional yang disediakan pihak penganjur.

“Saya sukan cabaran dan berharap pada tahun hadapan lebih banyak laluan serta halangan disediakan penganjur,” katanya.

Guanius menamatkan larian dengan masa 21 minit, manakala isterinya mengambil masa kurang setengah jam menewaskan 426 peserta lain dan membawa pulang hadiah wang RM500 setiap seorang, piala serta medal.

Sungkadon Obstacle Sprint Run adalah sukan larian berhalangan tahunan, dianjurkan Casero Event sejak 2016 yang terbahagi kepada dua kategori, Elite dan Fun Run.

Menurut Pengarah Urusan, Casero Event, Steve Johnny Mositun, Sungkadon Obstacle Sprint Run agak berbeza dengan acara yang dianjurkan sebelum ini.

“Menariknya, kategori Fun Run memerlukan peserta berlari dan membuat semua aktiviti atau halangan secara berkumpulan berbanding kategori Elite yang merupakan pertandingan merebut tempat atau nombor kedudukan.

“Kita dapat lihat setiap kumpulan Fun Run perlu bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain. Di situlah keseronokan menyertai kategori Fun Run berbanding Elite yang lebih serius.

“Kita mengharapkan lebih banyak lagi penyertaan dari luar Sabah, sekali gus menonjolkan daerah Papar ini sebagai destinasi pelancongan sukan di negeri ini,” ujarnya.

Hadir menyaksi dan menyampaikan hadiah ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Johnny Mositun.

Sementara itu, peserta Fun Run, Quen Martin, 29, kali pertama menyertai acara larian ini.

“Walaupun kali pertama menyertai acara ini, saya amat gembira kerana berjaya menamatkan perlumbaan. Antara cabaran yang paling sukar untuk dilakukan adalah aktiviti ‘Gompoton’ iaitu memanjat tali dan membunyikan loceng.

“Ia sukar dan saya mengambil keputusan untuk melangkau aktiviti berkenaan dan telah dikenakan penalti squad sebanyak 30 kali,” ujarnya kecewa.

Ditanya mengenai halangan yang paling disukai, Quen teruja menceritakan pengalaman melaksanakan halangan ‘Timolop’ dan ‘Timolop Lolobuhon’.

“Ketika melakukan aktiviti berkenaan yang mengkehendaki peserta masuk ke kolam kerbau dan satu lagi berenang di dalam kolam kerbau, rasanya macam hendak duduk lama-lama di kolam itu kerana ia agak sejuk sambil menghilang penat saya,” katanya sambil ketawa.

Guru di SMK Sikuati, Kudat itu, berazam untuk menyertai aktiviti sama pada tahun hadapan dalam kategori Elite dan berhasrat untuk menganjurkan beberapa aktiviti yang sama di sekolah dia bertugas.

Bagi pemenang tempat kedua kategori Elite Lelaki, Aizan Sofizan Ahmad, 22, pengalaman pertama menyertai acara ini adalah sesuatu yang membanggakan.

“Saya langsung tidak menyangka akan mendapat tempat kedua dalam kategori Elite Lelaki memandangkan peserta yang menyertainya hebat-hebat belaka.

“Pengalaman sebagai penonton tahun lalu memberikan kelebihan kepada saya untuk melihat serba sedikit tentang aktiviti dan halangan yang dijalankan.

Walaupun halangannya agak berbeza dengan tahun lalu, ia tetap memberi panduan kepada saya,” katanya.

Aizan turut berkongsi pengalaman mengenai halangan terbesar dalam acara berkenaan.

“Halangan paling mencabar adalah apabila terpaksa berjalan menggunakan buluh untuk sampai ke garisan penamat.

“Pada ketika itu, tenaga hampir habis dan kaki juga sudah sedikit lemah, jadi saya kuatkan mental untuk meneruskan cabaran serta syukur saya dapat menghabiskan acara berkenaan dalam masa 22:06:7s,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 1:59 AM