LAKE Akan Hot Spring Ski Galande wajib dikunjungi jika datang ke Kushiro
SOUNKYO Hyobaku Ice Waterfall Festival.
PERSEMBAHAN teater Ikoro oleh masyarakat Ainu.
PESTA Sairinka yang berwarna-warni.
PERSEMBAHAN teater Ikoro oleh masyarakat Ainu.
SAJIAN makanan laut yang wajib dicuba.
TANCHO di Akan International Crane Center.
PENGUIN ‘berkawad’ mencuit hati pengunjung di Zoo Asahiyama.
Mat Halim Hamzah
halim_hamzah@mediaprima.com.my


“Onsen di sini memang best!”

“Jangan lupa pergi tau”

Angin sejuk menerpa wajah selepas keluar dari Lapangan Terbang Chitose, Hokkaido. Dinginnya mencengkam sampai ke tulang sum-sum. Perjalanan ke hotel kira-kira dua jam di Tochigawa disajikan pemandangan salji memutih di serata tempat. Sesekali terfikir seronoknya kalau dapat bermain salji.

Sebaik masuk di bilik hotel, alangkah terujanya hati apabila ada disediakan onsen. Ia adalah kolam air panas yang boleh menghangatkan tubuh dan bagus untuk kesihatan terutama kulit. Maka ramailah yang berpusu-pusu berendam di onsen ketika musim sejuk ini sama ada di dalam bilik atau di tempat awam terutama di hotel. Perlu diingat kalau ke onsen di tempat awam kena ikut syaratnya.

Keindahan malam di Tochigawa Onsen diwarnai Sairinka Winter Festival. Ia berlangsung sepanjang musim sejuk. Objek bercahaya dengan pelbagai saiz dan warna serta berubah warna mengikut alunan muzik amat menarik pengunjung!

Sesekali menjenguk ke luar jendela terlihat berterbangan burung putih pada kala salji turun. Wah cantiknya. Orang Jepun memanggilnya ‘tancho’ atau burung bangau berkepala merah. Burung bangau spesies ini amat jarang ditemui.

Kebetulan berpeluang melawat Akan International Crane Center, inilah masanya untuk mengetahui mengenai bangau putih berkepala merah.

Pada suatu masa dahulu populasi bangau ini terlalu sedikit, namun kini ia berjaya dikembangbiakkan. Antara yang menarik ialah gelagat tancho ketika ia menari untuk mencari pasangan. ‘Nyanyian’ menggoda ketika salji merancakkan suasana. Burung jantan dan betina bersahut-sahutan di dalam kedinginan. Ia menjadi irama merdu ketika salji turun.

Puas ‘berkawan’ dengan tancho, singgah seketika di Akan National Park. Di sini dihampar pemandangan mempesona Tasik Mashu. Walaupun diliputi salji, tasik ini tetap menyajikan pemandangan menakjubkan. Air tasik ini dikatakan paling jernih di dunia.

Ada saranan agar melawat Tasik Mashu pada musim panas. Pelancong akan dapat melihat bayang langit biru di dalam tasik. Ada juga yang mengatakan tasik ini lagi cantik pada musim sejuk. Apapun persekitaran tasik ini memang menawan. Dengan kehijauan hutan dan kejernihan air tasik pasti mempesonakan. Jangan lupa berswafoto di sini.

Di satu sudut berhampiran Tasik Mashu ini, ada satu pasangan mengusahakan restoran The Great Bear. Dalam kedinginan menghirup sup dengan roti baru keluar oven memang ummph! Restoran ini menyajikan makanan yang dihasilkan daripada ‘bahan terbaik dari ladang.’ Nikmati sajian enak dengan dekorasi restoran yang cantik sambil ditemani salji berguguran.

Cinta membeku di Tasik Akan. Berbeza dengan Tasik Mashu, Tasik Akan ini terletak di Kushiro menawarkan pengalaman berbeza. Tasik yang luas dan membeku ini boleh dilihat dari jendela hotel. Sungguh menakjubkan tasik yang luas dan dalam ini membeku.

Pengalaman berjalan di atas tasik beku memang mengujakan. Takut juga kalau-kalau terjerlus ke dalam lubang air. Kebiasaan pengunjung mencari ‘frost flower’. Tetapi ‘bunga’ ini hanya kelihatan apabila suhu mencecah -20oC dan cuaca mengizinkan.

Di tengah-tengah tasik beku ini ada pulau kecil yang ‘menyembunyikan’ kolam air panas.

Pada musim sejuk Tasik Akan menyediakan aktiviti memancing dan lawatan berjalan di atas tasik beku. Carilah marimo. Sejenis hidupan yang sangat unik. Ia termasuk dalam kategori alga yang hidup dalam air. Tasik Akan antara danau yang aktif melaksanakan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan spesies ini.

Tasik Akan juga meraikan musim sejuk dengan Festival Fuyuhanabi. Pelbagai aktiviti sepanjang festival dengan pertunjukan bunga api, membuat orang salji dan iglu serta permainan.

Jangan lupa untuk mengunjungi perkampungan Ainu. Ainu adalah masyarakat peribumi Pulau Hokkaido. Akan bermaksud abadi dalam bahasa Ainu. Perkampungan Ainu adalah tarikan utama di Hokkaido.

Penginapan di Hotel Akan Yuku no Sato Tsuruga di tengah bandar Akan memberi peluang untuk mendekati budaya dan kehalusan seni masyarakat Ainu. Saksikan teater Ikoro yang menampilkan budaya dan cara kehidupan masyarakat Ainu di Akanko Ainu Kotan. Persembahan menarik memberikan pengunjung gambaran kehidupan mereka.

Selepas puas berjalan di tasik beku, jangan lupa ke Lake Akan Hot Spring Ski Galande. Ia destinasi wajib dikunjungi jika datang ke Kushiro. Tunjukkan kemahiran bermain ski. Sesekali kelihatan peluncur meluncur laju dari puncak bukit.

Hebat! Bagi yang ingin bermain salji atau meluncur ski di sinilah tempatnya. Di puncak bukit juga akan kelihatan jelas Tasik Akan yang membeku.

Sepanjang musim sejuk, festival ais adalah acara wajib. Antaranya festival berwarna-warni di Sounkyo Hyobaku Ice Waterfall Festival. Ukiran ais yang dihiasi lampu berwarna-warni sungguh menakjubkan. Percikan bunga api memeriahkan lagi pesta ais ini.

Usah ketinggalan melihat gelagat haiwan di Asahiyama Zoo. Taman haiwan yang dibuka pada 1967 ini menempatkan haiwan secara semula jadi. Saksikan sekumpulan penguin comel ‘berkawad.’ Istimewa hanya pada musim sejuk penguin ini dibawa ‘bersiar-siar’ untuk tatapan pengunjung dari dekat. Begitu juga gelagat beruang kutub dan singa laut berenang dan makan sungguh mengasyikkan.

Bagi yang berkunjung ke Hokkaido secara ‘backpacking’ usah bimbang kerana ada perkhidmatan bas yang akan melalui bandar-bandar menarik dengan disediakan ‘tour guide’ yang boleh berbahasa Inggeris.

Sesungguhnya keindahan Hokkaido terutama di bahagian timur bukan saja ada pada destinasi yang menarik, malah sajian istimewa negara matahari terbit ini jangan dilupa. Sushi, sashimi, telur ikan, belut, sup miso, rumpai laut dan makanan laut cukup segar. Di sinilah syurganya. Jangan lupa mencuba.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 2:18 AM