JOE KAESER
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Siemens, peneraju dalam bidang pembuatan dan automasi memperuntukkan 100 juta Euro (RM467 juta) sebagai geran perisian untuk pelajar Malaysia di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens AG Joe Kaeser berkata, geran itu akan diguna untuk melatih pelajar dan generasi jurutera masa depan.

Beliau berkata, peruntukan itu bertujuan melatih semula dan memperkasa pendidikan dalam pendigitalan iaitu segmen tumpuan baru Siemens.

“Pelaburan ini akan diselaraskan dengan keperluan kerajaan sebagai sebahagian pembinaan kapasiti negara serta bagi memastikan kejayaannya,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata, geran yang diberikan kepada universiti dan kolej itu akan membolehkan pelajar terbabit dalam dunia pembuatan maya, sekali gus melahirkan kumpulan pakar dan profesional masa depan.

Pada masa sama, syarikat berpangkalan di Jerman itu sudah menemui pegawai kanan kerajaan, baru-baru ini bagi membincangkan masa depan negara dalam bidang tenaga, mobiliti dan digital serta revolusi perindustrian keempat yang akan dilaksana di Malaysia.

Turut dibincangkan kerjasama Siemens dengan syarikat serta universiti bagi membantu menjayakan revolusi perindustrian keempat itu.

Menurutnya, Malaysia adalah negara yang maju dalam bidang pembuatan dan berpotensi dalam industri semikonduktor, elektronik serta komponen kereta.

“Kami juga mempelawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mengunjungi pameran perindustrian terbesar Jerman, Pameran Hanover tidak lama lagi,” katanya.

Katanya, pihaknya juga merancang menganjurkan lawatan ke kilang utama syarikat itu dan berharap Siemens dapat mewujudkan kerjasama yang kukuh di Malaysia.

“Kami sudah menyerahkan fasa pertama projek MRT Lembah Klang Laluan Satu dengan 58 set tren Inspiro yang dilancarkan secara rasmi pada Disember 2016,” katanya.

Selain itu, Siemens sudah menyerahkan dua turbin H-Class untuk Stesen Tenaga Kitaran Bergabung (CCPP) dan empat turbin untuk CCPP Pengerang Petronas iaitu stesen tenaga yang dipacu gas paling berkuasa dan cekap di Asia Tenggara.

Pada tahun kewangan 2016, Siemens di Malaysia mencatat pendapatan 879 juta Euro (RM4.1 bilion) dan memperoleh 464 juta Euro (RM2.16 bilion) bagi tempahan baru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 7:34 AM