NOR Azlan
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

SIRIM Berhad (SIRIM), sebagai institusi penyelidikan perindustrian sentiasa menjadi pemangkin dan pembuka jalan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tempatan dalam membangunkan inovasi dan teknologi bagi mengukuhkan lagi ekonomi negara.

Sebagai institusi penyelidikan perindustrian, SIRIM menyediakan pelbagai latihan dan program dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan sehingga produk serta inovasi usahawan berjaya dikomersialkan.

Menyedari kepentingan PKS yang menyumbang hampir 95 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), SIRIM mengambil inisiatif melalui kerjasama strategik dengan Fraunhofer Institute bagi membantu usahawan PKS menjadi peneraju ekonomi yang mampan dan berdaya maju.

Ikuti temu bual wartawan Bisnes Metro NABIL BASARUDDIN bersama Juruperunding Utama Sekretariat SIRIM-Fraunhofer Nor Azlan Mohd Ramli mengenai inisiatif yang dilaksanakan SIRIM dan kerjasama dengan Fraunhofer.

Apakah sebenarnya kerjasama antara SIRIM dan Fraunhofer Institute ini?

SIRIM-Fraunhofer adalah program kerjasama dengan Fraunhofer Institute yang berpangkalan di Jerman di mana usaha sama ini membolehkan SIRIM membantu usahawan untuk meningkatkan keupayaan pengurusan teknologi dalam kalangan PKS.

Fraunhofer Institute dipilih dalam inisiatif ini kerana ia antara institusi penyelidikan terbesar Eropah dan memiliki rekod pencapaian cemerlang dalam pelbagai pengurusan teknologi serta inovasi bukan saja di Jerman, malah di seluruh dunia.

Semua usaha ini adalah inisiatif kerajaan melalui SIRIM bagi melonjakkan peningkatan penembusan teknologi dan menaik taraf PKS melalui Model Inovasi Perindustrian melalui adaptasi prinsip Model Fraunhofer.

Melalui program SIRIM-Fraunhofer ini, apakah penekanan yang diberikan dalam membangunkan PKS yang berdaya maju?

Program ini mula dilaksanakan sejak 2015 dengan jangkaan sasaran sehingga 2020. Modus operandi terbahagi kepada empat program membabitkan audit teknologi, kaji selidik PKS, bengkel pengurusan inovasi dan kriteria penubuhan Pusat Inovasi Industri (ICI).

Dalam semua program yang disediakan, segmen audit teknologi adalah teras utama yang penting untuk diberikan perhatian kerana ia merangkumi sebagai asas dan permulaan sebelum sebarang langkah intervensi dilakukan.

Pengauditan teknologi penting bagi memastikan produk yang dihasilkan bukan sekadar boleh dijual di pasaran tempatan, malah berupaya melepasi garisan antarabangsa dan untuk ke arah itu, SIRIM akan memastikan produktiviti syarikat PKS sentiasa berterusan.

Malah, sepanjang 2016 hingga 2017, kerajaan sudah memperuntukkan kira-kira RM50 juta dalam melancarkan program ini di mana pada 2017 saja, sebanyak RM20 juta diberikan.

SIRIM-Fraunhofer dilaksanakan sejak 2015, mungkin boleh kongsikan perkembangan terkini program ini?

SIRIM sehingga kini sudah melaksanakan audit teknologi terhadap 336 syarikat tempatan membabitkan 150 syarikat pada 2015 dan 186 syarikat pada tahun lalu dan tahun ini bakal menyaksikan 150 syarikat melalui proses pengauditan.

Sebagai institut yang melaksanakan program ini, SIRIM akan melaksanakan audit berdasarkan kepada cadangan daripada persatuan industri dan atas permintaan usahawan PKS sendiri.

Antara sektor utama PKS yang akan diaudit termasuk makanan dan minuman, pemesinan dan kejuruteraan, elektrik dan elektronik, sokongan kejuruteraan dan industri, plastik dan getah, teknologi perubatan dan kesihatan, minyak dan gas serta produk pengguna.

Hasil daripada pengauditan teknologi akan membantu PKS membentuk pelan tindakan bagi meningkatkan produktiviti dan keupayaan teknologi masing-masing.

Intervensi teknologi adalah melalui penambahbaikan kepada susun atur kilang, peningkatan teknologi dalam proses pengeluaran serta peningkatan dalam keupayaan reka bentuk.

S: Apakah kelebihan program ini dalam mewujudkan ekosistem PKS yang lebih kukuh dan berdaya saing?

Apa yang kita lihat audit teknologi adalah fokus utama di mana ia berperanan dalam mempersiapkan syarikat dan usahawan PKS untuk memahami kekuatan serta kelemahan masing-masing sebelum memulakan proses memperkukuh potensi perniagaan dan program bimbingan.

Program ini turut menitikberatkan aktiviti seperti bengkel pengurusan inovasi dan latihan untuk pensijilan serta amalan baik di mana ia elemen penting untuk diperbaiki oleh PKS.

Malah, melalui program ini juga, syarikat PKS dapat meningkatkan kecekapan buruh secara sistematik dan berjaya mengoptimumkan susun atur pengeluaran untuk meningkatkan produktiviti serta menganalisis penggunaan bahan dan memperkenalkan langkah untuk menjimatkan bahan.

Pengurusan kebanyakan PKS turut mengambil usaha untuk menghadiri pameran dan persidangan perdagangan serta menggunakan pembabitan mereka dalam persatuan industri untuk mengenal pasti trend teknologi dan idea.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 7:38 AM