AHMAD Shabery (tiga dari kiri) menyampaikan pakej umrah kepada petani.
PENERIMA anugerah bergambar kenangan.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Buat julung kalinya, Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menganjurkan Anugerah Tani BERNAS 2017 bagi menghargai jasa pesawah, pengilang dan pemborong cemerlang yang setia sebagai rakan tani BERNAS dalam industri padi serta beras negara.

Sebanyak 15 anugerah kecemerlangan diberikan kepada tujuh pesawah dan empat masing-masing syarikat pengilang Bumiputera dan syarikat pemborong Bumiputera.

Ia bagi menghargai mereka yang menyokong BERNAS dalam memastikan bekalan beras negara sentiasa mencukupi bagi tempoh lebih 20 tahun sejak mengambil alih sebahagian peranan itu daripada kerajaan.

Tiga lagi anugerah khas turut diberikan kepada pembekal perkhidmatan, pertubuhan peladang serta koperasi yang juga berperanan dalam menyokong BERNAS.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pengiktirafan BERNAS terhadap pesawah, pengilang dan pemborong yang cemerlang itu adalah bertepatan pada masanya.

Beliau berkata, ia bagi menjaga keharmonian dan keutuhan industri padi serta beras tempatan yang menjadi tulang belakang jaringan keselamatan bekalan makanan negara.

“Selari dengan aspirasi kementerian untuk meneraju transformasi sektor pertanian, saya juga percaya pengiktirafan ini mampu memperkasa warga industri padi dan beras untuk terus berdaya saing.

“Pengiktirafan BERNAS itu dapat mencetus semangat rakan tani khususnya pesawah untuk meningkatkan amalan pertanian dan pengurusan ladang baik, bagi mengatasi isu kualiti yang boleh membawa kepada potongan pemutuan pada tinggi bagi pesawah.

“Amalan pengurusan ladang yang baik perlu mewujudkan budaya kerja cemerlang kerana boleh mengukuhkan sektor pertanian tempatan, sekali gus menjadi pemangkin transformasi pertanian negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Malam Anugerah Tani BERNAS 2017 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS Abdul Karim Md Lassim.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, tanggungjawab BERNAS dalam memastikan sumber bekalan beras mencukupi untuk kegunaan rakyat negara ini antara satu tugas yang penting lagi mencabar.

“BERNAS tidak pernah gagal melaksanakan tugas berkenaan kerana kami secara asasnya juga tidak pernah bersendirian dalam memikul tanggungjawab yang berat ini.

“Bebanan itu turut digalas secara langsung pesawah, pengilang dan pemborong yang tidak jemu berusaha melengkapi rantaian bekalan beras negara tanpa mengenal penat lelah,” katanya.

Malam Anugerah Tani BERNAS 2017 turut memberikan penghargaan kepada pengilang dan pemborong Bumiputera setia, membolehkan pemenang utama kedua-dua kategori menerima trofi dan hadiah tunai bernilai RM15,000 setiap satu.

Pengilang dan pemborong Bumiputera turut dihargai dalam kategori Pengilang dan Pemborong Bumiputera Harapan, masing-masing menerima trofi dan wang tunai RM10,000 setiap satu.

BERNAS turut menghargai tiga pembekal perkhidmatan yang sentiasa menyokong operasi syarikat melalui perkhidmatan berkualiti berterusan di kawasan masing-masing, membawa pulang trofi penghargaan dan wang tunai bernilai RM5,000.

Selain itu, sebagai satu usaha yang berterusan bagi menghargai pesawah setia, BERNAS turut menyampaikan sumbangan berbentuk pakej umrah kepada 100 pesawah pada malam anugerah berkenaan.

Ia antara sumbangan tahunan di bawah inisiatif Pesawah Setia BERNAS yang bermula pada tahun 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 11:06 AM