GUIDO merawat kaki lembu yang sakit.
PROSES pemerahan susu.
GUIDO (dua dari kanan) berkongsi pengetahuan mengenai ternakan lembu tenusu.
PROSES menguji susu.
KANDUNGAN pepejal tanpa lemak diuji menggunakan ‘Refractor meter’.
UJIAN solid graviti mengukur ketumpatan kandungan susu.
UJIAN alkohol iaitu dengan menggoncang bagi menilai ketahanan susu.
WAKIL media bersama pengurusan Dutch Lady Malaysia.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Program Farmer2Farmer (F2F) yang diadakan bagi memberi pendedahan kepada penternak berkongsi dan bertukar ilmu terutama ternakan lembu tenusu dianggap antara langkah baik.

Penulis dan rakan media yang lain diberi peluang mengikuti program berkenaan di Sungai Siput dan Jelapang, Ipoh, Perak, selama dua hari satu malam untuk merasai sendiri pengalaman berharga itu.

Seramai tiga penternak dari Belanda dibawa ke Malaysia untuk berkongsi pengetahuan ketika menyertai Program F2F dengan penternak tempatan antaranya Jan Ten Kate, Sjoerd Miedema dan Guido Tuten.

Antara pengetahuan dikongsi mereka termasuk cara terbaik menguruskan ladang, tatacara pengendalian susu dan haiwan yang baik, pemakanan efektif, kesihatan haiwan, amalan dan kawalan penyakit.

Program anjuran bersama Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Difahamkan, lebih 100 penternakmembabitkan ahli Koperasi Tenusu Negeri Perak dipilih mengikuti program selama dua minggu itu.

Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Dutch Lady Malaysia Shamsidar Yahya Nassim berkata, program F2F adalah sebahagian daripada Program Pembangunan Tenusu (DDP) yang dilancarkan buat julung kalinya pada 2013.

Beliau berkata, melalui program F2F, tiga penternak lembu tenusu dari Belanda dibawa ke Malaysia oleh ibu syarikat Dutch Lady Malaysia, Royal FrieslandCampina (RFC).

“Ketiga-tiga penternak terbabit akan berada di ladang terpilih selama dua minggu untuk berkongsi amalan baik penjagaan ternakan lembu tenusu.

“Mereka juga akan berkongsi tip berkenaan cara meningkatkan kemahiran penternakan dengan penternak tempatan,” katanya ketika berucap pada program F2F di Pejabat JPV, Sungai Siput, Perak, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Pengarah Bahagian Kesihatan, JPV Perak Dr Maswati Mat Amin. Hadir sama, Penyelaras Tenusu JPV Perak Faqrul Azmi Mohd Mokhtar.

Turut hadir, Pengurus DDP Dutch Lady Malaysia Woon Siong Ker dan Pengerusi Koperasi Tenusu Negeri Perak K Ramachandran.

Shamsidar berkata, kerjasama erat antara penternak, ahli koperasi dan sokongan JPV Perak melalui program ini dapat mentransformasikan dan memajukan penternak terbabit.

“Ia secara tidak langsung membantu ramai penternak tempatan meningkatkan hasil pendapatan mereka melalui kuantiti dan kualiti susu yang lebih baik.

“Hasil pertukaran pengetahuan program F2F dan sokongan JPV menyaksikan peningkatan yang ketara terutama pada tahun 2015 apabila jumlah susu yang dibekalkan kepada Dutch Lady Malaysia meningkat 25 peratus,” katanya.

Menurutnya, ini selaras dengan misi korporat iaitu untuk membantu rakyat Malaysia maju ke hadapan dengan nutrisi tenusu yang dipercayai.

“Kami juga percaya kepentingan untuk mewujud dan mengekalkan hubungan baik dengan pengguna, pelanggan, pembekal dan komuniti tempat kami beroperasi.

“Dutch Lady Malaysia akan terus komited untuk menjalankan perniagaan dengan penuh tanggungjawab sambil menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Dr Maswati berkata, pengeluaran susu di negeri ini meningkat dari tahun ke tahun dan untuk rekod, daripada hanya 2.87 juta liter pengeluaran susu pada 2012 meningkat kepada 4.22 juta liter pada 2016.

“Peningkatan pengeluaran disebabkan kemudahan dan amalan tenusu baik oleh penternak melalui pendidikan serta latihan yang diberikan pemain utama dalam tenusu di Malaysia.

“Harapan kami supaya program 2F2 dapat berjalan lancar dan mampu mencapai matlamat serta memperbaiki sistem pengurusan semua penternak tenusu di Perak khususnya,” katanya.

Ramachandran berkata, pihaknya menyambut baik langkah Dutch Lady Malaysia dan JPV menganjurkan program F2F kerana dapat membantu penternak tempatan menambah ilmu pengetahun serta pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 11:26 AM