DEMI Pengasih, dari kiri, Aizat, Nuzul Azali, Shamsulbahri, Kamisah, Tengku Amir, Yunus, Ameng, Zul Mahat, Amran dan Azman.
Adam Salleh

“Berikan hamba

sejalur cahaya cinta

terangi segenap

jalan hamba yang gelita

Berikan hamba

setitis penawar agar

hilanglah segala

kesedihan batin hamba

Wahai Pengasih

wahai penyayang

senang dan sedih

hamba memohon perlindungan

hanya padamu

hamba serahkan urusan

Wahai Pengasih wahai penyayang

terima kasih

hamba lafazkan kesyukuran

atas segala nikmat

yang telah kau berikan.”

Belum di keudarakan ibarat baru keluar ‘oven’, sudah pastilah tetamu yang hadir pada Malam Amal Pengasih di Golden Chersonese Hall, Maju Tower, Sabtu lalu, bertuah kerana buat julung kali diperdengarkan lagu Pengasih. Lagu ciptaan Zul Mahat dan lirik Amran Omar dinyanyikan oleh Ameng Spring dan Aizat Amdan serta tetamu turut berdiri menyanyikan lagu itu jelas cukup bermakna buat Pengasih Malaysia kerana sejak bermula pada 1987 dan didaftarkan pada 25 September 1991, kini Pengasih Malaysia mempunyai lagu sendiri sebagai modal promosi aktiviti.

Sebelum ini, jika mengaitkan perihal penagih, terkenanglah kita lagu Mati Hidup Semula ciptaan dan nyanyian Datuk Jamal Abdillah. Lagu itu sememangnya memberi impak kepada pendengar dan tersenarai di antara lagu popular tanah air, namun apa terjadi ramai juga penagih yang mati hidup semula, mati lagi dan hidup semula, begitulah seterusnya.

Untuk mengukur populariti lagu Pengasih terlalu awal, namun pengertian pengasih itu sebagai insan cukup kita maklum betapa hidup ini perlu ada kasih dan ihsan agar kembara di alam fana ini diberkati Illahi. Hakikatnya jelas komitmen mereka disebalik terhasil lagu Pengasih itu cukup tulus, bermula daripada komposer, penulis lirik dan penyanyi semuanya ‘gratis.’

Di kala ekonomi beragam, masyarakat pula kian ghairah diulit materialistik, bukan mudah sesuatu boleh kita dapat percuma. Beruntunglah Presiden Pengasih Malaysia, Datuk Mohd Yunus Pathi dihadirkan insan terpilih dalam kalangan artis, komposer dan aktivis sosial Datuk Kamisah Nor agar aktiviti Pengasih dapat bertali arus walaupun ‘kantung’ mulai menyusut.

Sepatah kata Zul Mahat, sebaik dimaklumkan Kamisah yang mesra dipanggil ‘mama’ oleh penghuni Pengasih, agar menghasilkan lagu, dalam tempoh tidak sampai sehari lagu Pengasih itu berjaya disiapkan. Cuma menunggu kepulangan Amran dari Jakarta dan dalam masa dua hari, lirik lagu itu dinukilkan yang antara pengisiannya dikaitkan sang hamba dan Tuhannya.

Rakaman dikendalikan Azman Abu Hassan di Studio 67 Sdn Bhd dan Malam Amal Pengasih mendapat sokongan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, namun baginda mewakilkan kerabat Tengku Amir Tengku Ibrahim. Turut hadir Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Datuk Shamsulbahri Ibrahim; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang Datuk Nurul Azali Sulaiman serta penyanyi Zamani. Kehadiran mengejut Jamal Abdillah sebagai tanda sokongan tetapi alangkah baik sekiranya Jamal turut menyanyi pada malam itu.

Bagaimanapun, Jamal memberi alasan terikat dengan kontrak persembahan minggu setiausaha, mengekang dia beraksi, namun tanpa disedari kehadiran Jamal mengikis tumpuan pada penyanyi yang benar ikhlas menjayakan malam amal itu. Istimewanya Anugerah Tan Sri Megat Junid diterima oleh Kamisah yang turut bersinsing lengan untuk Pengasih sejak 2011.

Untuk menjana dana, tidak cukup hanya dengan majlis malam malam. Pelbagai program dan aktiviti seharusnya dirangka dan digerakkan agar Pengasih lebih sinonim di hati masyarakat. Di era digital ini, lagu Pengasih itu lebih menarik sekiranya dapat divisualkan dalam bentuk klip video. Sekiranya lagu itu dijayakan oleh ramai artis atau selebriti yang pernah terjebak dengan dadah itu, lagilah klasik sebagaimana penyanyi Barat berkolaborasi dalam We Are The World (USA For Africa), bagi menterjemahkan satu semangat untuk membina jiwa baru.

Suatu ketika, pelatih Pusat Serenti kita dihuni ramai yang berbakat dalam seni. Selain Jamal, ada Armali (anak tunggal Puan Sri Saloma), Tahir Ibrahim (adik Datuk Khatijah Ibrahim), Syed Nor Iduat (bekas anggota kumpulan SYJ dan Sofea), Badin P Ramlee (anak angkat Tan Sri P Ramlee) serta Fahmi Omar (anak sutradara Omar Rojik). Mereka dilayan bukan seperti ‘katak di bawah tempurung’ sebaliknya menggerakkan aktiviti seni Pusat Serenti sehingga sempat mengadakan persembahan di hadapan pembesar negara dan Tunku Besar Negeri Sembilan.

Penulis sendiri sempat melihat band Pusat Serenti ketika rangkaian promosi Festival Filem Malaysia di Port Dickson hujung 1990-an. Kebetulan Armali adalah kenalan keluarga penulis, begitu juga dengan Tahir dan Badin, satu sekolah dengan penulis di Sekolah Rendah Jalan Temerloh dan Sekolah Menengah Tinggi Setapak, serba sedikit terbit rasa bangga kerana sekalipun ‘sahabatku’ itu ‘ke dalam’, bakat seni mereka tidak dipersiakan. Bahkan diwujudkan ‘Battle Of The Bands’ dalam kalangan pelatih Pusat Serenti, antaranya Besut, Tampoi, Prolok Sungai Siput dan Rawang. Menariknya mereka yang terbaik dihantar ke Pusat Jagaan Lanjutan di Sungai Besi di mana di situ ada komposer JS Kevin dibimbing pula oleh Datuk Wah Idris.

Natijahnya, penulis tidak pasti apakah Pengasih atau Pusat Serenti kita yang kini disebut CCRC (Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan) kita mempunyai residen artis atau kumpulan muzik sendiri? Harus dingat, seni khususnya nyanyian itu lebih mudah melekat di jiwa dan lihatlah bagaimana klip video Angkatan Laut Amerika Syarikat (U.S. Pasific Fleet Band) yang menjadi tular baru-baru ini apabila mereka membelai jiwa muzik tanah air kita dengan lagu Assalamulaikum Ustazah, walhal ‘adik-adik’ kita di Pengasih atau di CCRC pun berbakat besar.

Penulis Pengarang

Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 5:54 AM