SOKONGAN keluarga penting untuk kuatkan semangat wanita memulakan hidup baru.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Sudah dua tahun dia bersabar. Kali ini dia mengambil keputusan nekad. Apabila suaminya yang menagih heroin mula memukulnya dengan batang besi, Nadia nekad meninggalkannya, satu tindakan yang mungkin tidak pernah terlintas di fikiran wanita Afghanistan lain.

Keganasan domestik sudah menjadi satu lumrah di negara yang lebih mengutamakan hak lelaki itu, namun buat pertama kali, semakin ramai wanita Afghanistan yang berani mencari keadilan untuk diri sendiri dengan menuntut cerai. Tindakan ini dilihat sebagai satu usaha yang memperkasakan mereka.

Walaupun Islam membenarkan dan menghalalkan perceraian, ia masih dianggap tabu berbanding penderaan yang dilakukan ke atas wanita. Malah, budaya masyarakat Afghanistan masih tidak boleh ‘memaafkan’ wanita yang berpisah dengan suami mereka.

“Dia bukan saja penagih dadah, malah pemabuk. Saya tidak sanggup lagi hidup bersamanya,” kata Nadia bercerita mengenai suaminya selepas dua tahun mereka mendirikan rumah tangga dengan suara teresak-esak. Di sebalik burqa yang dipakainya, dia mengesat air matanya.

Ayahnya yang duduk di sebelah Nadia turut bergenang air mata, menandakan kesedihan mengenangkan nasib yang menimpa anak kesayangannya.

Ketua puak di kampung cuba campur tangan, dengan memujuk Nadia untuk kembali ke pangkuan suami pendera itu. Namun, Nadia tegas dengan keputusannya dan menjadi wanita pertama dalam keluarganya yang meminta perceraian.

“Tuhan memberi hak kepada wanita perceraian salah satu daripada hak berkenaan,” kata Nadia yang kini menuntut cerai dengan bantuan Legal Aid Grant Facility (LAGF), sebahagian daripada projek Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) yang dilancarkan pada 2014.

Bagaimanapun, sejak Nadia mendedahkan penderaan yang dialaminya, suaminya menghilangkan diri.

Statistik cerai kebangsaan juga sukar diperoleh, tetapi melihat kepada trend terkini, LAGF berkata, pihaknya menyaksikan peningkatan 12 peratus kes cerai di seluruh Afghanistan dalam tempoh tiga tahun ia beroperasi di negara itu.

“Wanita yang bercerai dan memulakan kehidupan baru ini menjadi model kepada wanita lain. Ini menunjukkan bahawa perkahwinan yang tidak bahagia atau terikat dengan suami pendera tidak seharusnya terus menjadi penjara kehidupan mereka,” kata penyelidik Human Rights Wacth, Heather Barr kepada wartawan AFP.

PERCERAIAN DIANGGAP MEMALUKAN

Sejak dulu lagi Afghanistan menjadi medan perjuangan mendapatkan hak wanita apatah lagi dengan tumbangnya kerajaan Taliban pada 2001, namun kes perceraian yang dituntut oleh wanita menunjukkan kesaksamaan gender masih terlalu jauh untuk dijangkau.

Secara umumnya, jika lelaki yang mahu bercerai, prosesnya mudah; hanya dengan menjatuhkan talak. Tetapi jika wanita yang menuntut perceraian, mereka perlu pergi ke mahkamah dan hanya boleh mendapatkan cerai atas sebab yang kukuh contohnya didera atau diabaikan.

Mengekalkan peguam untuk menguruskan kes perceraian juga tidak mudah walaupun seseorang wanita itu mampu membayar upahnya. Ini kerana peguam yang mewakili wanita dalam kes perceraian sering menerima ancaman bunuh.

“Perceraian ialah salah satu contoh yang paling jelas untuk menunjukkan diskriminasi masih terpahat kukuh dalam undang-undang di Afghanistan,” kata Barr.

“Ada banyak faktor yang menyukarkan wanita untuk menuntut cerai. Antaranya kesukaran mendapatkan khidmat peguam, rasuah dan kebencian terhadap perempuan serta kadar buta huruf yang tinggi dalam kalangan wanita Afghanistan,” jelasnya.

Ada juga wanita yang terpaksa bersabar dengan kerenah suami. Contohnya Nafisa, 22, yang berdepan dilema apabila suaminya enggan menceraikannya.

Selepas bertunang selama 11 tahun, mereka akhirnya berkahwin walaupun tanpa kehadiran suaminya. Oleh kerana dia tinggal di London, suaminya memberi kuasa kepada seorang wakil untuk melangsungkan perkahwinan mereka dalam satu majlis yang diadakan di Jalalabad.

Bagaimanapun, selepas berkahwin, suaminya tidak mahu balik ke Afghanistan atau membawa Nafisa tinggal bersamanya di London. Perkara inilah yang menyebabkan Nafisa nekad keluar dari rumah keluarga mentuanya dan menuntut cerai.

Saudara lelaki dalam keluarga Nafisa tidak membenarkan wanita muda ini bertemu dengan wartawan, malah bapa saudaranya berkata, prosiding perceraian di mahkamah hanya mencemarkan nama baik keluarga mereka. Ia juga secara tidak langsung akan menyukarkan laluannya untuk berkahwin lagi.

DIPANDANG HINA

Ini adalah sebahagian daripada sebab perceraian itu tidak digalakkan. Dalam masyarakat Afghanistan, wanita yang bercerai dan hidup berdikari adalah satu perkara yang masih asing. Lebih buruk, status janda itu sering menyebabkan mereka dipandang serong dan menjadi sasaran penganiayaan.

Usaha damai dilakukan sebagai jalan terakhir untuk menghalang perpisahan apabila wanita biasanya disarankan supaya mengalah.

Dalam satu sesi perbincangan perdamaian di pejabat Persatuan Wanita untuk Wanita Afghanistan, menyaksikan pertemuan antara Zahra, 24, dengan ibu mentua dan suaminya.

Ibu muda kepada empat anak itu menuntut cerai kerana suaminya penagih dadah dan berkahwin lagi selepas jatuh cinta dengan anak jirannya.

“Dia mengambil dadah di depan anak kami. Selepas khayal, dia mula mendera saya,” kata Zahra yang duduk dikelilingi oleh anak-anaknya.

Malangnya sesi perbincangan damai itu menjadi hangat apabila ibu mentua membela tindakan anaknya.

“Jangan hancurkan hidup kamu. Fikirkan mengenai anak. Isteri keduanya beritahu dia berkahwin lagi kerana kesilapan kamu,” kata si ibu mentua, sementara suami Zahra membisu seribu bahasa dan tidak menunjukkan sebarang emosi.

“Orang mula bercakap pasal kamu. Mereka kata kamu kini tinggal di pusat perlindungan dan buat perkara buruk,” sambungnya.

Sejak meninggalkan rumah, Zahra tinggal di pusat perlindungan untuk wanita teraniaya. Bagaimanapun penduduk, setempat menganggap pusat perlindungan itu sebagai ‘rumah pelacur’.

“Satu hari dia (suami) memukul saya berulang kali, menyebabkan saya terpaksa berjumpa dengan abang ipar dan merayu dia memberikan suami wang untuk membeli dadah,” kata Zahra sambil menangis.

Ibu mentuanya tidak putus asa, terus cuba memujuknya dengan memberi jaminan anaknya tidak akan memukul Zahra lagi. Soalnya, bolehkah dipercayai janji begini?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 2:28 AM