HAJARYATI (kanan) bersama Hariati akan menganjurkan siri seminar The Broken Heart Series bulan depan.

Selepas kematian suami secara mengejut pada 2014, Hajaryati Hanim Bukhari tidak tahu apa yang mesti dilakukan. Pelbagai persoalan bermain di fikiran. Pada siapa tempat bergantung dan mahu dicurahkan kasih sayang buat dua anaknya yang selama ini sangat rapat dengan arwah?

Menambah kesedihan apabila dia tiada sesiapa di sisi lantaran status anak tunggal dalam keluarga manakala ayah sudah lama meninggal dunia. Bebanan di bahu terasa berat apabila dia yang memulakan perniagaan selepas menamatkan perkhidmatan di syarikat minyak dan gas dibayangi stigma yang mengatakan wanita dalam edah tidak boleh keluar rumah.

Ini sekali gus menambah kebuntuan dalam diri.

“Sebagai usahawan, keluar bertemu pelanggan aktiviti yang perlu saya lakukan. Jika tidak, mana mungkin saya mampu memperoleh pendapatan untuk menyara anak-anak. Untuk mendapatkan penjelasan, saya bertemu kaunselor di Jabatan Agama Islam Selangor dan mereka menjelaskan mengenai salah faham dalam edah serta keindahannya.

“Saya mula memahami apa yang sering disalah anggap selama ini dan menyedari betapa cantik dan sempurnanya wanita dalam edah sekiranya mereka benar-benar memahaminya,” jelas Hajaryati ketika ditemui di Balai Berita,Kuala Lumpur baru-baru ini.

Namun, pengaturan Allah sangat sempurna. Sewaktu masih tercari-cari apa yang perlu dilakukan, ditambah jiwa yang kosong dia bertemu seseorang yang tidak dikenali, namun senasib dengan dirinya. Wanita itu memintanya melakukan sesuatu iaitu ‘berserah’ dan alur kehidupan yang diibaratkan seperti teka-teki akan terisi dengan mudah.

“Ketika itu saya masih kurang faham konsep berserah kerana saya dulu hanya wanita ‘biasa-biasa’ dan masih mencari keredaan Allah. Sehinggalah saya membaca buku karangan Yasmin Mujahid berkaitan konsep berserah dan reda kepada Allah.

“Selepas memahaminya, saya menangis semahu-mahunya dan menyedari selama ini tidak meletakkan Allah di tempat pertama. Di sinilah bermulanya perjalanan hidup saya dalam mencari keredaan dan meletakkan Allah di tempat pertama dalam apa juga keadaan,” katanya yang bersyukur kerana bertemu dengan Ustaz Othman Abdullah daripada Maahad Tahfiz al-Kholidi Ulu Yam yang menganjurkan tazkirah pada setiap minggu.

Dari situ, sedikit demi sedikit Hajaryati mengakui dia merasai bagaimana cantiknya Allah mengatur kehidupannya selepas dia mempraktikkan konsep berserah ini dengan sepenuh jiwa.

Tambahnya, kehilangan suami bukanlah pengakhiran dalam hidup. Dia perlu bangkit demi anak tersayang.

“Dalam tercari-cari sesuatu bagi mengisi kekosongan jiwa, saya berpeluang mengikuti kelas anjuran Ustaz Habib Ali Zaenal Abidin yang menceritakan mengenai tawakal dan sabar. Saya akur ujian Allah tanda sayangnya Dia pada hambanya agar lebih rapat dan dekat dengan-Nya,” katanya.

THE BROKEN HEART

Menurut Hajaryati, idea mengadakan seminar The Broken Heart Series tercetus apabila dia bersama rakan, seorang peguam syariah yang juga bergelar ibu tunggal, Hariati Fairuz Nordin sering berkongsi cerita dan kesedihan yang sama.

Walaupun mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi, ketika ditinggalkan, dunia terasa terhenti.

“Kawan dan saudara-mara memang mahu menghulurkan bantuan, menguatkan emosi serta memberi pelbagai kata-kata nasihat dan motivasi supaya kita reda dan sabar. Namun, bagaimana mahu menjadikan sabar yang indah?

“Kehilangan bukan setakat kematian atau perceraian semata-mata kerana ada antara kita hilang arah, tenggelam punca kerana sudah menyimpang jauh dari landasan dan mahu kembali ke pangkal jalan, tetapi berjumpa mereka yang salah memberi bimbingan.

“Ada juga antara kita yang memulakan hijrah seperti menutup aurat, tetapi hati masih terasa kosong dan jiwa bercelaru. Kata Ummu Umar Khaled, “You are not broken, you are just being called back to Him,” katanya.

Ingin sama-sama membantu dan berkongsi jiwa dan rasa, Hajaryati bersama Hariati dengan sokongan pengasas bersama Yazlan Yahya ingin menganjurkan seminar The Broken Heart Series bagi memberi penekanan mengenai konsep keredaan dan ikhlas selepas ditimpa musibah sekali gus memujuk hati untuk berserah jiwa dan raga kepada Allah.

Tambah Hariati, menariknya seminar ini ialah cetusan pengalaman daripada mereka yang pernah melaluinya dan tidak hanya memberi tumpuan kepada wanita tetapi mereka yang ingin mengetahui mengenai hati dan bagaimana memujuknya seterusnya bangkit daripada kesedihan.

“Ada yang kematian suami, ditinggalkan suami, bermadu, digantung tidak bertali dan pelbagai masalah hidup yang hanya dapat dirasai oleh mereka yang melaluinya. Kebanyakan golongan ini tidak tahu apa yang perlu dilakukan bagi memujuk jiwa yang lara, sedih, tertekan, pedih dan keluh kesah akibat kepahitan yang dilalui mereka. Paling sering dilakukan hanyalah menangis dan terus menangis,” katanya.

The Broken Heart Series akan diadakan pada 6 Mei depan anjuran Trio Connections bertempat di Pusat Konvensyen Sime Darby. Selain sesi luahan rasa daripada Hajaryati dan Hariati ia turut membabitkan penceramah bebas seperti Ustaz Zul Ramli, Iqbal Zain serta beberapa jemputan yang lain. Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi talian 016-6156870 atau 018-6633478 atau e-mel kepada maqaasid@gmail.com. - Siti Zarinah Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 2:44 AM