DATARAN yang sering menjadi lokasi pengunjung merakam gambar kenangan di Ullen Sentalu Museum.
SUASANA pagi berhampiran Hotel Harper Mangkubumi.
DAPATKAN pelbagai pilihan pakaian sebagai cenderahati dijual berhampiran laluan ke Borobudur.
PENGUNJUNG berpusu-pusu ke Borobudur.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Membuat liputan berkenaan Program Pembelajaran Serantau Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) 2016 di Jogjakarta, Indonesia anjuran Nippon Paint baru-baru ini, menyingkap seribu satu pengalaman seni dan budaya setempat.

Bermula dengan kunjungan bersama peserta program itu ke Candi Borobudur, perjalanan dari Hotel Harper Mangkubumi mengambil masa kira-kira dua jam.

Borobudur diisytiharkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia yang terletak di desa Boro, Kabupaten Magelang, Jawa Tengah.

Dikatakan dibina antara tahun 750 dan 850 Masihi oleh pemerintah Jawa Dinasti Sailendra dan Sanjaya.

Jika Mesir berbangga dengan Piramid dan Sphinx, China dengan Tembok Besar, Kemboja dengan Angkor Wat, warga Indonesia pula berbangga dengan Borobudur.

Sebaik sampai di kaki bukit sebelum menuju ke Borobudur, anda boleh dapatkan pelbagai cenderamata kenang-kenangan dari kemeja-T hingga kraf tangan menarik.

Dibanjiri pelancong dari dalam dan luar negara, secara tidak langsung membuktikan ia antara yang unik dan sarat dengan nilai sejarah.

Dari jauh sudah kelihatan ratusan pengunjung pelbagai lapisan usia mendaki Borobudur.

Bagi peserta program, Ueda Mitsumori, 25, peluang menjejaki Borobudur itu memberi kesempatan untuknya menimba sebanyak mungkin ilmu berkenaan seni bina.

“Sejarah merekodkan terdapat lebih 2,672 arca dinding sebagai simbol pelbagai aktiviti manusia dan haiwan.

“Di setiap tingkat, arca dipahat pada ketulan batu tumpat dan disusun hingga menjadi sebuah cerita serta pengajaran bagi mereka yang rajin mengkaji atau menelaah,” kata penerima anugerah platinum serantau itu.

Usai di Borobudur, kami singgah makan tengah hari di The Wareong of Raminten iaitu restoran unik dengan masakan, dekorasi dan seni bina berlatarkan perkampungan Jawa.

Tiga ruang makan disediakan termasuk di bangunan utama dan berhampiran kolam ikan.

Wujud dataran di kawasan kolam ikan sebagai pang­gung terbuka untuk acara tertentu.

Pengalaman menarik juga apabila makanan Jawa yang disajikan kepada kami terhidang di bangunan utama.

Kami hanya perlu mengambil sendiri makanan itu kemudian menuruni anak tangga menuju ke ruang makan bersebelahan kolam tadi untuk sama-sama menikmati juadah.

Indah apabila dikenang apatah lagi waktu itu hujan renyai-renyai memaksa kami berlari anak sambil menatang makanan masing-masing.

Sekali lagi teruja kerana berpeluang makan tengah hari dalam suasana santai de­ngan meja ringkas berkerusi rotan ‘tanpa kaki’ yakni boleh diubah kedudukannya sama ada bersandar atau sebaliknya.

Kelapangan petang diisi dengan kunjungan ke Ullen Sentalu Museum iaitu muzium seni dan budaya Jawa mengambil masa kira-kira 40 minit dari The Wareong of Raminten.

Muzium milik per­sendirian itu terletak di daerah Kaliurang Barat kira-kira 30 kilometer dari Jogjakarta.

Ia secara langsung menyingkap sejarah pemerintahan beraja di Jogjakarta bermula dengan potret, manuskrip, sosiobudaya kehidupan raja, koleksi peribadi, budaya dan pakaian diraja.

Ullen Sentalu Museum berkonsepkan taman dengan bangunannya pula bercirikan seni bina Belanda ini antara muzium terbaik di Indonesia.

Ia menggunakan batu tinggalan letusan gunung berapi. Tembok batu muzium itu juga dikatakan dibina daripada lahar gunung berapi.

Hampir senja, barulah kami kembali ke tempat penginapan iaitu Hotel Harper Mangkubumi.

Belum puas meneroka keunikan kota Jogjakarta memaksa kami ke Jalan Malioboro kerana lokasinya kira-kira 10 minit dari hotel.

Hanya perlu berjalan kaki atau anda boleh menaiki beca di kawasan hotel dan teksi untuk ke situ. Namun, penulis dan dua lagi rakan tugasan memilih untuk berjalan kaki.

Dapatkan pelbagai jenis cenderahati dan kemeja-T di Jalan Malioboro itu kerana harganya sangat berpatutan. Rajin-rajinlah menawar.

Malah, anda juga berpeluang menyaksikan seribu satu ragam peniaga di situ. Nyata kunjungan ke Jog- jakarta antara kenangan paling menarik!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 3:39 AM