ABDUL Baki menyiapkan surat perisytiharan dalam bentuk tulisan khat di atas kulit kambing ketika temu bual di galerinya.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Walaupun sudah tiga kali menggalas tugas menyediakan lembaran watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong, cabaran berat tetap terasa kali ini apabila penulis kaligrafi khat Abdul Baki Abu Bakar diberi tanggungjawab serupa untuk pertabalan Sultan Muhammad V.

Sabar, tekun dan teliti adalah antara cabaran yang tetap dirasakan untuk menghasilkan seni kaligrafi khat jawi yang indah, halus dan berkualiti tinggi, apalagi bila diminta menghasilkannya pada kepingan kulit kambing.

“Penulisan khat di atas kulit kambing (tidak seperti di atas kertas) adalah sukar kerana tekstur yang agak licin seperti berminyak dan berbintik-bintik.

“Inilah cabaran utama,” kata Pengarah Galeri Diwani Kraf itu yang berpengalaman menghasilkan watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong sejak 2002.

Abdul Baki pernah memenangi pelbagai pertandingan seni kaligrafi khat peringkat antarabangsa antaranya di Algeria, Brunei, Turki dan Arab Saudi dan pernah terpilih di antara 30 penulis khat terbaik dunia.

Dalam temu bual dengan BERNAMA, beliau menceritakan tanggungjawab berat yang digalasnya kali ini - menyiapkan penulisan khat watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 Sultan Muhammad V.

Istiadat pertabalan itu akan berlangsung di Istana Negara pada 24 April ini.

“Pihak Istana Negara hanya menyediakan enam kepingan kulit kambing berukuran 26x40cm dan 15 keping kertas khas berukuran 21x30cm untuk penulisan khat bagi istiadat pertabalan tersebut.

“Prosesnya amat sukar kerana saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan bagi setiap perkataan. Bagi mengelak perkara itu berlaku, saya menulis menggunakan pensel terlebih dulu di atas kulit kambing sebelum menggunakan pen dan dakwat khas,” katanya.

Menurut Abdul Baki, beliau dipertanggungjawabkan menghasilkan 15 Watikah Persilaan kepada semua Sultan dan Raja Melayu serta empat watikah yang ditulis di atas enam kepingan kulit kambing iaitu Watikah Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong (dua keping), Watikah Ikrar (sekeping), Watikah Doa (dua keping) dan Watikah Perisytiharan Pertabalan (sekeping).

“Penulisan kaligrafi khat bagi Watikah Persilaan di atas 15 kertas khas adalah lebih mudah berbanding menulis khat di atas enam kepingan kulit kambing,” katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kaligrafi khat.

Abdul Baki pernah terbabit dalam menyediakan watikah serupa bagi pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-12 Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 2002, Yang di-Pertuan Agong ke-13 Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 2007 dan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 2012.

Mengulas lanjut mengenai penulisan watikah kali ini, Abdul Baki berkata proses penulisan watikah itu kini 80 peratus siap dan akan dihantar ke Istana Negara sebaik siap.

Mengenai jenis kaligrafi khat yang dipilih, Abdul Baki berkata semua watikah ditulis tangan menggunakan khat nasakh dan khat thuluth yang lebih mudah dibaca berbanding beberapa jenis kaligrafi khat lain.

Berkongsi pengalaman mengenai penyediaan watikah yang mengambil masa kira-kira dua bulan itu, Abdul Baki berkata ia perlu melalui beberapa peringkat, bermula dengan melakar skrip menggunakan pensel bagi mengelak kesalahan dan mengimbangi tulisan.

“Seterusnya, ia akan diperiksa oleh wakil Istana Negara sebelum proses terakhir menulis menggunakan sejenis pen khas iaitu ‘batang resam’ dengan dakwat kalis air yang terbaik dari Jepun bagi memastikan tulisan tersebut tahan lama,” kata penulis khat berusia 43 tahun itu.

Anak kelahiran Baling yang pernah menghasilkan sebuah Mushaf al-Quran Malaysia pada 1999 itu berkata watikah pertabalan ditulis di atas kulit kambing bertujuan memastikan ia tahan beratus tahun.

“Kulit kambing bahan yang tahan lama, keras, tidak seperti kertas biasa yang semakin lama akan rosak serta pudar tulisannya,” katanya.

Mengimbau pembabitan beliau dalam bidang kaligrafi khat, Abdul Baki berkata minat terhadap penulisan itu timbul semasa berusia 12 tahun ketika menuntut di Maahad Tarbiah Islamiah, Derang, Kedah.

“Ketika itu saya melihat guru saya menulis kaligrafi khat di dalam kelas. Dari situ saya suka melihat dan berniat mendalami ilmu penulisan itu.

“Beberapa tahun kemudian kawan saya memberikan sebuah buku bertajuk Kaedah Seni Khat tulisan Hashim Al-Baghdadi dari Iraq,” katanya.

Menceritakan pencapaian beliau, Abdul Baki berkata kreativiti dalam kaligrafi khat telah membawa nama Malaysia ke peringkat tinggi di persada seni khat dunia apabila memenangi pelbagai pertandingan seni kaligrafi khat antarabangsa termasuk di Algeria, Brunei, Turki dan Arab Saudi.

Beliau berkongsi kenangan manis dengan menyatakan pernah terpilih di antara 30 penulis khat terbaik dunia untuk menulis al-Quran mushaf kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 6:25 AM