GAMBAR hiasan
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dua puluh dua lelaki termasuk seorang Datuk Seri dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng 24 Pulau Pinang', dua tahun lalu.

Mereka ialah Ng Chian Sia,55; Teh Swee Chin, 31; Bee Hooi Siang, 44; Eee Ching Hock, 47; Jeremy Cheng Yee Fun, 34; Mah Chee Seng, 46; Yeoh Kah Man, 26; Goh Chun Shien, 36; Ng Ah Boey, 37; Yeoh Choon Hin, 37; Teng Kok Haw, 26; Lim Leong Huat, 27; Chee Chia Heng, 32; Song Wai Hon, 33; Teoh Jong Yow, 36; Yeoh Choon Hong, 45; Lee Chew Hong, 40; Tan Soo Ching, 36; Teh Hang Beng, 38; Tang Soon Poh, 24; Teoh Chin Yeow, 24; dan Teng Kok Loon, 29.

Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan dalam bahasa Mandarin di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman. 

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng 24 Pulau Pinang' di daerah Timur Laut, Pulau Pinang antara 1 Januari 2015 dan 29 Januari 2017.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah subseksyen sama dengan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabitkan kesalahan.

Mahkamah menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 12:05 PM