BALKISYH tiada masalah jiwai karakter musim terbaru Mak Cun.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Gara-gara watak Atul dalam drama bersiri popular Mak Cun, nama pelakon Balkisyh Semundur Khan menarik perhatian peminat.

Balkisyh, 30, berkata, watak Atul atau Saidatul turut menaikkan namanya selepas lebih sedekad berkecimpung dalam bidang lakonan.

“Sebenarnya, saya sudah lama terbabit dalam bidang lakonan tetapi nama kurang dikenali berbanding rakan seperjuangan lain.

“Namun, rezeki berpihak kepada saya selepas ditawarkan penerbit Mak Cun, Erma Fatima untuk berlakon dalam siri popular berkenaan. Ternyata, watak Atul disukai dan beri impak pada penonton sekali gus nama saya turut dikenali ramai.

“Bayangkan, ke mana saja saya pergi, ramai yang memanggil dengan nama Atul dan bukan nama sebenar. Saya bersyukur kerana peminat mula nampak kehadiran saya ketika ini,” katanya.

Ditanya mengenai wataknya dalam musim terbaru Mak Cun, Balkisyh berkata, watak Atul juga lebih menarik dan menampilkan kelainan dalam musim ketiga sebanyak 20 episod yang sudah mula bersiaran sejak semalam.

“Saya sudah sebati dengan watak Atul kerana sudah terbabit dalam siri popular ini sejak awal lagi. Saya juga selesa bekerjasama dengan Erma sejak musim pertama lagi. Bermula dari watak Atul dalam Spain Uols terus dikembangkan ke drama Mak Cun dan seterusnya ke pentas teater di Istana Budaya. Ia diteruskan menerusi drama Ajaibnya Cinta.

“Oleh itu, saya tidak ada masalah untuk menjiwai watak Atul dalam musim terbaru ini. Kali ini, watak itu semakin berkembang dan digambarkan sebagai wanita yang sudah berjaya dalam perniagaannya,” katanya.

Bukan anak emas Erma

Bagaimanapun, populariti watak Atul turut memberi kesan negatif terhadap perkembangan karier lakonan Balkisyh apabila ada pihak mendakwa dia hanya boleh melakonkan watak komedi saja.

“Sebenarnya, saya adalah pelakon versatil dan boleh melakonkan apa saja watak. Saya tidak mahu dikenali dengan watak Atul atau genre komedi saja. Saya juga menganggap watak itu sebagai platform untuk lebih dikenali dalam bidang seni.

“Sebagai pelakon, saya perlu mencuba pelbagai watak sekali gus menggilap bakat dalam lakonan,” kata ibu kepada dua anak ini.

Pelakon kelahiran Lahad Datu, Sabah ini juga menafikan dia terikat atau hanya berlakon dalam produksi Erma Fatima saja.

“Saya juga bukan anak emas Erma, malah Erma juga tidak ada masalah jika saya dapat tawaran berlakon dengan produksi lain. Apa yang penting, ia tidak bertindih dengan jadual penggambaran drama Mak Cun.

“Saya juga berharap penerbit dan pengarah tidak takut untuk mengambil saya berlakon selepas ini. Mungkin ada yang terpengaruh dengan dakwaan itu kerana tawaran berlakon berkurangan sejak terbabit dengan Mak Cun,” katanya yang turut membuka gerai nasi kukus ayam rempah dan laksa di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Antara drama lakonannya sebelum ini ialah Waris Kasih, Besan Tiga Segi, Rindu Awak 200% dan Akulah Balqis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 2:22 AM