SKIM cepat kaya sasar artis popular pengaruhi orang ramai.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Perniagaan skim cepat kaya sudah lama diketahui ramai tidak sahih pengurusannya kerana apabila diselidiki ternyata ia tidak sah di sisi undang-undang.

Namun, sehingga ke hari ini masih ada pihak yang mempercayai skim berkenaan sehingga sanggup melabur puluhan ribu ringgit, tidak kurang juga ada mempertaruhkan ratusan mahupun jutaan ringgit.

Dengan hanya menggunakan wang sebagai modal utama, masing-masing berharap mendapat pulangan yang lumayan tanpa memikirkan kesannya.

Tidak hanya orang biasa, selebriti dan artis juga dikatakan menjadi mangsa utama kerana terpedaya dengan janji manis yang diberikan.

Pelbagai taktik digunakan untuk menarik artis dan sasaran utama ialah mereka yang sudah popular serta mempunyai nama.

Dua selebriti berkongsi pandangan mengenai perkara ini.

Fizo Omar (Pelakon)

“Sebagai selebriti, kami perlu ingat apabila membabitkan isu seperti ini, orang ramai akan mengambil kesempatan.

“Ini strategi mereka untuk melariskan perniagaan dengan menjanjikan bulan dan bintang di samping mempergunakan peminat kami.

“Tidak mustahil kami akan kelabu mata. Sebaik-baiknya, kami perlu pertimbang dan dalami perkara ini sebelum menerimanya,” katanya.

Fizo berpendapat, dalam perniagaan tiada istilah jalan pintas dan apa juga yang hendak dilakukan perlulah melalui pelbagai rintangan dan cabaran.

“Sejujurnya, apabila mendengar mengenai skim cepat kaya saya akan elak. Bagi saya tidak ada perkara yang mudah dalam melakukan perniagaan.

“Kepada artis pula, tidak baik bersekongkol. Fikirlah baik-baik, sebagai artis susah payah kita hendak mencipta nama sehingga mengambil masa bertahun-tahun.

“Jangan hanya kerana perkara ini membusukkan nama sendiri dan pastinya tidak berbaloi dengan apa yang sudah anda usahakan selama ini,” katanya.

Sherry Al Hadad (Pelakon dan pengacara)

“Saya pernah ditawarkan menyertai skim perniagaan seperti ini. Tetapi, disebabkan perlu mencari ramai orang saya jadi tidak berminat.

“Kemudian apabila saya mengkaji semula terasa perniagaan ini seperti menipu.

“Tidak saya nafikan ada yang terpengaruh kerana hendak mencari pendapatan sampingan sehingga tidak mengkaji kesan skim perniagaan ini.

“Ada pula yang tahu, tetapi meneruskannya berikutan menerima habuan yang banyak pada awal pembabitan mereka,” katanya.

Sherry berkata, sebagai selebriti bergantung pada bidang ini saja memang tidak cukup dan perlu mencari pendapatan sampingan.

“Namun, perlu diingat, jangan sampai dipergunakan sehingga kesannya kelihatan seperti selebriti itu yang bersalah.

“Sentiasalah menilai setiap perniagaan yang ditawarkan dan jangan menjadi hamba duit serta rakus.

“Usah terlalu memikirkan keuntungan semata-mata tanpa melihat kesan yang boleh kena kepada orang lain juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 2:45 AM