KEBANYAKAN warga emas dikategorikan sebagai pesakit terlantar dan tidak berupaya untuk menguruskan diri sendiri.
MERENUNG jauh mungkin cuba mengimbau kenangan ketika bersama keluarga dahulu.
MENYANTUNI orang tua bukan saja kepada ahli keluarga malah sesiapa saja yang bergelar warga emas.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Ungkapan ‘seorang ibu mampu menjaga sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum mampu menjaga seorang ibu’ ada kebenarannya apabila kita sering saja disajikan dengan pelbagai kisah duka yang dihadapi wanita bergelar ibu ketika menghabiskan sisa-sisa hidupnya.

Ibu dan bapa berpenat lelah mencari sesuap nasi untuk membesarkan anak. Apatah lagi bagi ibu atau bapa tunggal sudah tentu banyak pengorbanan yang dilakukan kerana hanya tulang empat kerat itu yang bekerja tanpa pasangan di sisi.

Kesempatan mengunjungi Rumah Ehsan Kuala Kubu Baru (REKKB), Kuala Kubu Baru benar-benar mengusik jiwa penulis dan memberi banyak teladan agar sentiasa menyantuni warga tua meskipun mereka bukan ibu dan bapa kandung kita.

MAZNAH ABU

Ketika dipertemukan dengan Maznah Abu (bukan nama sebenar), kelihatan dia berehat selepas menikmati hidangan tengah hari.

Maznah memiliki riak wajah yang bersih dan menjaga penampilan sejak muda sehinggakan umur 60 tahun seakan-akan mitos untuk menggambarkan empunya badan.

Ketika mula dimasukkan ke REKKB, dia hanya mampu terlantar di atas katil akibat serangan angin ahmar sewaktu berada di rumah sewanya di Setapak, Kuala Lumpur.

Benar, seseorang perlu memiliki semangat yang kuat untuk sihat semula. Oleh itu, dia gigih menjalani fisioterapi dan pemeriksaan perubatan untuk segera pulih dari strok seluruh badan.

Sikap Maznah yang sentiasa berfikiran positif, bergerak aktif, bersenam dan ringan tulang membantu rakan seperjuangan kini membolehkan dia berjalan tanpa menggunakan tongkat atau bantuan sesiapa.

“Saya tak nak menyusahkan anak atau menantu. Mereka sudah berkeluarga sebab itu saya tinggal seorang di Setapak. Tapi di sini saya gembira juga sebab ada ramai kawan.

“Anak ada datang tapi tak apalah, biar saya tinggal di sini tapi berharap mereka akan datang menjenguk. Saya rindu kepada anak,” katanya apabila ditanya mengenai keluarganya.

Mungkin kisah Maznah kelihatan ringkas namun, jauh di sudut hati, Maznah amat merindukan anaknya malah dia masih menyimpan gambar mereka buat penghilang rindu.

ZAINAB OSMAN

Lebih 10 tahun lalu Zainab Osman (bukan nama sebenar), 70, dihantar ke REKKB oleh anaknya seramai tiga orang dengan alasan ingin tinggalkan ibu mereka ‘sekejap’ dan berjanji mengambilnya.

Masa dan tahun silih berganti namun bayang si anak hilang terus ditelan waktu. Janji itu diucap anaknya yang hanya pandai menabur kata-kata manis tidak kunjung tiba.

Menurut Zainab, ia berpunca selepas dia tidak lagi mampu mencari rezeki untuk keluarganya akibat kemalangan jalan raya.

“Tulang kaki mak cik patah tiga tapi doktor dah masukkan besi, tempurung pun dah kena tebuk sebab itu tak boleh kerja dah.

“Lepas kemalangan mak cik pula kena strok seluruh badan. Anak dan menantu tak pedulikan mak cik.

“Hati mak cik kecewa sangat. Sakit hati ini Tuhan saja yang tau. Mak cik sayang mereka dari dalam perut sampailah mereka kenal dunia sekarang tapi sanggup abaikan mak cik,” kata Zainab dengan cucuran air mata.

Bukan itu saja, anak Zainab dikatakan tidak membenarkan pihak hospital melakukan pembedahan ke atasnya.

Zainab kini menanggung derita kerana ketumbuhan di atas bahu yang semakin membengkak akibat tulang bahunya lari dari kedudukan asal. Ia juga menyukarkan pergerakannya di atas katil.

Ketika mula dimasukkan ke REKKB, Zainab cuma mampu menggerakkan kepalanya dan terlantar lama di atas katil. Hasil bantuan kakitangan dan jadual pengambilan ubat yang teratur, dia kini sudah mampu beribadat meskipun hanya duduk di atas katil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 4:35 AM